Literasi digital tingkat daya saing usahawan wanita

Literasi digital tingkat daya saing usahawan wanita

SEBANYAK 86 peratus usahawan wanita menggunakan platform digital untuk pemasaran, namun tahap kemahiran kekal tidak seimbang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LITERASI digital kini menjadi keperluan asas dalam memperkasa usahawan wanita, khususnya dalam era ekonomi digital. Ia bukan sekadar kemahiran teknikal, malah mencerminkan peranan wanita sebagai ejen perubahan yang membina legasi mampan. Dalam dunia yang pantas berubah, wanita perlu celik digital untuk bersaing secara efektif.

Secara asasnya, literasi digital merujuk kepada keupayaan memahami, menggunakan dan menghasilkan kandungan digital dengan berkesan. Statistik menunjukkan 86 peratus usahawan wanita Malaysia menggunakan platform digital untuk pemasaran, namun tahap kemahiran yang tidak seimbang kekal sebagai cabaran utama.

Beberapa inisiatif diperkenalkan bagi mengatasi masalah ini. Contohnya, kerjasama AirAsia Academy dan Usanita melatih ribuan wanita dalam pemasaran digital, analisis data dan keselamatan siber. Latihan sebegini penting, terutama bagi wanita dari kumpulan B40 untuk menjadikan perniagaan mereka lebih berdaya saing.

Media sosial menjadi medium utama usahawan wanita berinteraksi dengan pelanggan. Kandungan seperti penceritaan Instagram dan video pendek di TikTok membantu membina hubungan emosi dengan penonton. Namun begitu, cabaran seperti perubahan algoritma dan kos iklan berbayar memerlukan pemahaman lebih mendalam mengenai strategi digital.

Pelaburan dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) turut berpotensi membantu wanita menganalisis data pelanggan dan mengautomasi operasi. Langkah ini menjimatkan masa dan meningkatkan kecekapan pengurusan perniagaan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut memainkan peranan penting menerusi program seperti Gig@BIT, yang melatih wanita dalam kemahiran digital dan e-dagang. Namun, kejayaan usaha ini juga memerlukan sokongan komuniti termasuk program bimbingan, bengkel dan forum rangkaian untuk memperkasa wanita dari akar umbi.

Sebagai agen perubahan, usahawan wanita perlu terus diberi sokongan menyeluruh agar mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Literasi digital bukan lagi pilihan, tetapi senjata penting dalam membina masa hadapan lebih inklusif, seiring tema “Wanita Beraspirasi Membina Legasi.” – UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH DAN MOHD. RADZMAN BASINON

Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Sixtysix Action Academy

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN