DALAM dunia kerjaya masa kini, suasana dan budaya di tempat kerja memainkan peranan besar dalam membentuk motivasi, semangat dan prestasi individu.
Bagi penjawat awam, tanggungjawab bukan sekadar menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat tetapi turut mencorak budaya organisasi yang mencerminkan integriti, hormat dan semangat berpasukan.
Namun, di sebalik piagam pelanggan dan slogan korporat, budaya toksik masih berakar di sesetengah jabatan. Ia hadir dalam bentuk gosip, pilih kasih, sabotaj, sikap menikam dari belakang serta komunikasi yang negatif. Akibatnya, ramai kakitangan jujur dan berdedikasi menjadi mangsa tekanan emosi. Mereka juga hilang kepercayaan terhadap sistem kerja.
Budaya toksik merujuk persekitaran kerja yang melelahkan secara mental, tidak selamat dari segi psikologi dan penuh unsur negatif. Ia boleh menjejaskan kesejahteraan staf serta kualiti penyampaian perkhidmatan.
Sebaliknya, budaya tonik ialah suasana kerja yang membina dan menyegarkan dipenuhi rasa hormat, keterbukaan dan kerjasama. Rakan sekerja saling menyokong, menegur dengan hikmah dan meraikan kejayaan bersama.
Sebagai penjawat awam, kita memiliki kuasa walaupun kecil untuk menjadi ejen perubahan. Kita boleh memilih untuk tidak menyebarkan gosip, tidak bersubahat dalam politik pejabat dan tidak menormalisasi penindasan. Sebaliknya, kita boleh memilih untuk menyapa dengan senyuman, memberi penghargaan dan menyemai kata-kata yang membina.
Menghadapi individu toksik memerlukan ketegasan. Tetapkan sempadan, elakkan perbualan peribadi dan simpan komunikasi secara bertulis.
Bina kekuatan dalaman dan sokong rakan sekerja yang menjadi mangsa. Bersuara melalui saluran yang betul apabila berlaku ketidakadilan.
Pihak pengurusan pula harus menjadi teladan dan melaksanakan dasar toleransi sifar terhadap buli, diskriminasi dan hasutan. Budaya kerja yang sihat dibentuk melalui tindakan konsisten, bukan retorik.
Mari kita tolak toksik, pilih tonik. Budaya kerja yang sihat memerlukan tanggungjawab bersama. Mulakan perubahan dari diri sendiri demi organisasi yang lebih harmoni dan produktif.-UTUSAN
NOOR AFZAN ZAKARIA
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










