PROGRAM MYJalan yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos 2023 diiktiraf sebagai inisiatif penting untuk memastikan pengurusan jalan raya lebih selamat, sistematik dan inklusif.
Sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 40,938 aduan berkaitan jalan raya diterima di bawah Program MYJalan, dengan 30.4 peratus melibatkan jalan Persekutuan manakala selebihnya 69.6 peratus melibatkan jalan di bawah pentadbiran negeri dan pihak lain.
Antara cabaran utama pengurusan jalan ketika ini ialah kekurangan data yang berintegriti, seragam dan holistik. Isu-isu yang wujud merangkumi perbezaan kategori jalan, pelbagai sistem pengumpulan data yang tidak bersepadu, aduan yang tidak saling terhubung, kewujudan jalan tanpa pemilik serta inventori jalan yang tidak lengkap.
Ekosistem data jalan yang holistik merangkumi semua jalan raya di Malaysia yang terurus dan terangkum kini menjadi keperluan yang mendesak bagi memastikan infrastruktur jalan negara sentiasa berkualiti, mampan, lestari, selamat dan selesa. Sebagai langkah awal, kerajaan memperkenalkan Tatacara Umum Pengurusan Data Jalan di Malaysia sebagai asas kepada reformasi tadbir urus data jalan.
Melalui inisiatif ini, sekurang-kurangnya lima negeri disasarkan untuk berkongsi data jalan menjelang 2026, diikuti lapan negeri lagi pada 2027, agar matlamat integrasi 80 peratus data jalan berintegriti di seluruh negara tercapai menjelang 2030.
Pendekatan ini dijangka dapat meningkatkan keselamatan jalan raya, mempercepat penyelesaian aduan rakyat, serta menyokong aspirasi Malaysia untuk berada di tangga ke-8 dunia bagi indikator infrastruktur jalan dalam Kedudukan Daya saing Dunia (WCR) oleh IInstitut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) menjelang 2033.
Program MYJalan yang berlandaskan konsep keseluruhan kerajaan dan seluruh negara (WoGoN) terus menegaskan komitmen kerajaan dalam menjadikan slogan “Jalan Kita, Tanggungjawab Kita” sebagai realiti demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang mampan.
KEMENTERIAN KERJA RAYA










