Hari Malaysia merupakan detik penyatuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963.
Bagi sesetengah pihak, Hari Malaysia kurang diberi perhatian berbanding Hari Kebangsaan. Kekeliruan ini mungkin berpunca daripada kurangnya penekanan tentang sejarah sebenar penubuhan negara dalam sistem pendidikan dan juga wacana umum.
Tambahan pula, isu-isu yang berkait rapat dengan penubuhan Malaysia seperti ketidakseimbangan pembangunan antara Semenanjung dan Malaysia Timur, hak-hak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta pengiktirafan kepelbagaian budaya dan bahasa masih menjadi perbincangan berterusan.
Ini menunjukkan sambutan Hari Malaysia tidak boleh bersifat simbolik semata-mata. Ia perlu disertai kefahaman, penghargaan dan tindakan konkrit yang menjurus kepada kesaksamaan dan perpaduan tulen.
Semua pihak mempunyai peranan yang penting. Institusi pendidikan wajar memperkukuh pengajaran sejarah Malaysia secara menyeluruh, bukan sahaja aspek kemerdekaan tetapi juga integrasi wilayah, cabaran politik dan kerjasama antara kaum.
Media massa pula seharusnya memperluas perbincangan yang sihat mengenai makna Hari Malaysia, bukan sekadar melaporkan kemeriahan sambutan. Begitu juga dengan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang boleh menganjurkan program berorientasikan nilai sejarah, patriotisme dan kesedaran sivik.
Sektor swasta tidak hanya menjana ekonomi tetapi juga membentuk nilai masyarakat. Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), syarikat boleh menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Aktiviti berteraskan kebangsaan di tempat kerja seperti pameran sejarah, kempen kesedaran dan aktiviti kesukarelawanan turut berupaya memupuk rasa cintakan negara dalam kalangan pekerja pelbagai etnik. Usaha proaktif ini melengkapi inisiatif kerajaan dan memastikan makna Hari Malaysia terus difahami serta dihayati secara meluas.
Peranan keluarga juga amat penting. Sambutan ini tidak sepatutnya terbatas kepada tontonan di televisyen. Sebaliknya, keluarga boleh menjadi medan utama untuk memupuk semangat patriotisme. Ibu bapa boleh memperkenalkan anak-anak kepada sejarah penubuhan Malaysia, kepelbagaian kaum serta tokoh-tokoh yang berjasa.
Aktiviti seperti menonton dokumentari, membaca buku sejarah, atau menyertai program komuniti sempena Hari Malaysia dapat memperkaya pemahaman generasi muda. Menghias kawasan perumahan dengan Jalur Gemilang dan berkongsi hasil kreatif bertemakan Hari Malaysia di media sosial juga mampu menambah seri sambutan.
Selain itu, keluarga boleh memanfaatkan teknologi yang dekat dengan generasi muda. Perkongsian mesej positif, nyanyian lagu patriotik atau video kreatif di media sosial bukan sahaja menceriakan suasana, malah menanam rasa bangga dan cinta negara dalam kalangan rakan sebaya. Dengan cara ini, semangat Hari Malaysia dapat dihayati secara segar, inklusif dan merentasi batas umur mahupun latar belakang.
Sebagai sebuah negara berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya, Malaysia memerlukan lebih daripada sekadar slogan perpaduan. Hari Malaysia seharusnya dijadikan platform tahunan untuk menilai pencapaian sebagai sebuah bangsa dan memperbaharui komitmen terhadap prinsip keadilan, integrasi dan keharmonian. Ia wajar menjadi ruang refleksi nasional dengan melihat sejauh mana kita berjaya menyatukan perbezaan demi masa hadapan bersama. – UTUSAN
NURULISYAZILA OTHAMAN & NURSABIHA SYAHIRAH MOHD. IDRIS
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) & Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










