BARU-BARU ini beberapa siri gempa bumi berlaku di sekitar Segamat, Yong Peng dan Batu Pahat, Johor. Tiada kemalangan jiwa mahupun kerosakan struktur dan semuanya dikategorikan sebagai gempa bumi lemah. Oleh kerana tiada kematian dan keruntuhan bangunan, pihak berkuasa meminta orang ramai agar tidak panik.
Adakah perlu menunggu kematian, bangunan runtuh dan rumah ranap baru nak ambil tindakan? Apa pelan tindakan pihak berkuasa jika berlaku gempa bumi tanpa mengira tahap kekuatannya?
Dilaporkan juga berlaku rekahan tanah kebun di Jalan Buloh Kasap, Batu 2, Segamat. Penduduk tertanya-tanya, apakah pelan evakuasi oleh pihak berkuasa?
Apa sahaja kekuatan gempa bumi yang berlaku sama ada lemah, sederhana mahupun kuat, akan tetap mendatangkan kegerunan dan ketakutan kepada mereka yang merasainya, lebih-lebih lagi mereka yang berada di kawasan berlakunya gempa bumi tersebut.
Setiap kali berlaku gegaran walau sekecil mana sekalipun, penduduk akan panik dan takut. Ini akan menyebabkan mereka menjadi trauma setiap kali ada gegaran.
Ada juga penduduk yang ingin berpindah kerana takut gempa bumi kuat akan berlaku. Namun, ke mana mereka mahu berpindah? Pindah- randah bukannya perkara mudah, terutamanya bagi mereka yang sudah berkeluarga. Perlu cari kerja lain, rumah sewa, tukar sekolah anak-anak, pindah barang-barang dan bermacam-macam urusan lagi.
Kebiasaannya, nilai hartanah akan jatuh di kawasan yang kerap berlaku bencana. Jadi, bila penduduk berpindah ke tempat lain, sukar untuk menyewakan atau menjual rumah.
Walaupun gempa bumi lemah, para pelabur takut untuk mengambil risiko melakukan sebarang bentuk pelaburan di kawasan gempa bumi.
Mereka tidak mahu menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda, pengeluaran produk tergendala, kecederaan para pekerja dan sebagainya.
Majikan terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk pelbagai jenis insurans untuk syarikat dan para pekerjanya jika beroperasi di kawasan kerap berlaku bencana. Lagipun, Malaysia tiada pengalaman menguruskan bencana gempa bumi seperti Jepun.
Peniaga pun akan menghadapi kekurangan pelanggan dari luar daerah untuk membeli belah di kedai mereka. Orang ramai takut untuk memandu kenderaan melalui kawasan yang kerap berlakunya bencana.
Gempa bumi lemah juga akan memberi kesan pada sektor pelancongan di Segamat, Yong Peng, Batu Pahat dan kawasan sekitarnya. Pelancong takut untuk ke kawasan berisiko yang mungkin mendatangkan bahaya kepada mereka walau sekuat mana pun laungan ungkapan ‘gempa bumi lemah’.
Walaupun gempa bumi lemah tetapi kesannya besar. Banyak pihak dan sektor akan terjejas. Daripada apa yang pernah dibaca, tonton dan dengar di media massa, media sosial atau penceritaan mangsa, kita berasa gerun dan takut terhadap bencana alam seperti gempa bumi. Malah ketakutan terhadap gempa bumi melebihi bencana alam lain kerana kemusnahannya amat dahsyat.
Jangan kita nilai gempa bumi itu pada magnitud atau kekuatannya sahaja kerana ia tetap akan memberi kesan besar kepada manusia, hidupan dan alam.-UTUSAN
MARISSA QT
Kuala Lumpur










