SERAMAI 321 pelatih Briged Rela Siswa Siswi (Relasis) dari 20 pusat pengajian universiti awam dan politeknik seluruh negara telah ditauliahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Lokman Effendi Ramli bertempat di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Alam UniMAP baru-baru ini.
Relasis bukan sekadar pasukan beruniform, malah merupakan platform strategik bagi membangunkan jati diri mahasiswa, menyemai nilai patriotisme serta melahirkan pelapis kepimpinan muda yang berpegang teguh kepada integriti, sebagai ejen perpaduan di dalam masyarakat, serta menyumbang tenaga dan kepakaran masing-masing.
Selaras dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan nilai-nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, Relasis berperanan dalam memberikan khidmat bakti kepada masyarakat, serta saling menghormati. Sejak 2010, Relasis menjadi platform membimbing mahasiswa menghayati semangat kesukarelawanan, disiplin, kepimpinan dan patriotisme.
Sehingga September 2025, program ini telah mencatatkan lebih 1,870 anggota berdaftar, melibatkan 31 institusi pengajian tinggi awam dan swasta, dengan purata 649 anggota aktif setiap tahun menyertai pelbagai aktiviti komuniti, latihan dan program kemasyarakatan.
Anugerah Pelajar Relasis Terbaik turut dianugerahkan bagi setiap kategori iaitu kategori keseluruhan terbaik – Muhammad Faiz Mohd Fairuz (Politeknik Banting), kategori kepimpinan terbaik – Muhammad Danish Haikal Nor Jamal Efandi (Politeknik Kota Bharu), kategori disiplin terbaik – Ali Imran Mohd Yus Jawarry (Politeknik Kota Bharu) dan kategori kawad terbaik – Muhammad Haris Ikhwan Mohd Hafiz (Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin). – UTUSAN
JABATAN SUKARELAWAN MALAYSIA (RELA)










