ESSCOM perkukuh keselamatan Pantai Timur Sabah

ESSCOM perkukuh keselamatan Pantai Timur Sabah

PANTAI Timur Sabah tidak lagi dilabel sebagai kawasan berisiko tinggi, sebaliknya sebagai zon strategik yang semakin membangun dan berdaya saing di bawah kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH sedekad yang lalu, Lahad Datu dan kawasan Pantai Timur Sabah sering dikaitkan dengan krisis keselamatan. Insiden pencerobohan bersenjata pada 2013 oleh kumpulan Royal Sulu Force (RSF) bukan sahaja menggugat ketenteraman awam dan meruntuhkan keyakinan terhadap sektor pelancongan, malah turut mencabar kedaulatan negara.

Namun, daripada detik getir tersebut, lahirlah satu inisiatif penting iaitu penubuhan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) yang diletakkan di bawah kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). Penubuhan ini menjadi titik tolak penyusunan semula landskap keselamatan negara di wilayah Pantai Timur Sabah.

Hari ini, Pantai Timur Sabah dilabel zon strategik yang semakin membangun dan berdaya saing. Di sebalik kejayaan ini, ESSCOM memainkan peranan utama dalam merangka dan menyelaras strategi keselamatan secara bersepadu dan pelbagai dimensi.

Sebagai pusat penyelarasan keselamatan, ESSCOM tidak hanya tertumpu kepada rondaan rutin. Kawasan operasinya meliputi sempadan perairan sepanjang 1,733 kilometer (km), merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Ancaman di kawasan ini bersifat pelbagai dari penyeludupan kontraban dan manusia sehinggalah keganasan rentas sempadan. Oleh itu, operasi ESSCOM disokong oleh sistem pemantauan udara, laut dan darat yang merangkumi radar, kamera jarak jauh dan teknologi digital terkini.
Dalam memperkukuh keselamatan, ESSCOM turut memberi penekanan kepada pendekatan berasaskan komuniti.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ESSCOM mencatatkan beberapa pencapaian penting. Antaranya termasuk penahanan elemen pengganas asing, pemusnahan rangkaian penyeludupan senjata serta penggagalan cubaan pencerobohan oleh bot pancung di perairan Semporna dan Tambisan.
Paling ketara, rekod menunjukkan tiada insiden penculikan berlaku di ESSZone sejak Januari 2020.

Keamanan yang semakin kukuh ini mula diterjemahkan dalam bentuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi. Semporna, Tawau dan Lahad Datu kini kembali menjadi destinasi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa.

Dalam konteks serantau, Sabah tidak beroperasi secara bersendirian. Melalui Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) bersama Filipina dan Indonesia, rondaan maritim bersama, pertukaran risikan serta tindakan balas pantas semakin diperkukuh. ESSCOM terus memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan dan kelangsungan kerjasama tiga hala ini.

Walaupun banyak kejayaan dicapai, cabaran keselamatan baharu terus muncul. Isu migran tanpa dokumen, golongan rentan seperti masyarakat Pala’u, serta penyebaran ideologi ekstremisme secara dalam talian menuntut pendekatan yang lebih proaktif dan inovatif.

Pelaburan dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), drone dan analitik keselamatan harus dipertingkatkan, di samping usaha memperkukuh pendidikan, peluang pekerjaan dan integrasi sosial masyarakat setempat.

Melanconglah ke Sabah. Laburlah di Sabah. Dan yang paling penting sebarkan naratif baharu ini, yang mana titik lemah suatu masa dahulu kini telah menjadi titik kekuatan negara.-UTUSAN

KENNIMROD SARIBURAJA
Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan,
Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT),
Kementerian Luar

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×