Erti sebenar tanggungjawab korporat

Erti sebenar tanggungjawab korporat

TANGGUNGJAWAB korporat bukanlah sekadar sidang media atau penyerahan cek bergambar sebaliknya tentang kesungguhan, kerendahan hati dan kesediaan berdiri bersama komuniti apabila kehidupan mereka musnah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH sebulan selepas letupan paip gas di Putra Heights, kami dimaklumkan Petronas Gas Bhd (Petronas Gas) sebenarnya sudah pun terlibat sejak awal, cuma tidak di hadapan lensa kamera. Mereka menyalurkan lebih RM2 juta bantuan kecemasan pada peringkat awal, diikuti sumbangan RM25 juta melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membaik pulih atau membina semula rumah yang rosak. Ramai terkejut, termasuk saya.

Persoalannya, mengapa perkara sepenting ini tidak dimaklumkan kepada penduduk?

Petronas Gas mula memperkenalkan inisiatif di bawah rangka kerja PGB Connects. Pada mulanya, ia kedengaran seperti retorik korporat.

Program Tenang menawarkan sokongan kesihatan mental, amat diperlukan komuniti yang masih trauma. Awareness n Action (AnA) pula membawa pendidikan keselamatan dan maklumat jelas tentang paip gas serta tanggungjawab kita yang tinggal berhampirannya.

Terbaharu, program Laman diperkenalkan untuk memulihkan ruang kejiranan agar lebih hijau, selamat dan mesra komuniti.

Pada mulanya, ramai di antara kami menolak program-program ini. Apa yang kami mahu hanyalah pampasan dan pembaikan rumah. Saya sendiri antara pengkritik lantang. Namun, akhirnya menyedari ada nilai yang dibawa. Tenang membantu mereka yang masih bergelut dengan trauma, manakala kumpulan WhatsApp komuniti yang diwujudkan memberi ruang terus kepada penduduk untuk meluahkan kebimbangan serta mendapatkan maklumat tepat tanpa perlu bergantung semata-mata kepada ketua persatuan penduduk.

Pada townhall terkini, Petronas Gas melancarkan inisiatif Claim & Connect. Ia adalah saluran rasmi untuk penduduk membuat tuntutan kerugian bagi dinilai dan jika diluluskan, diberikan bayaran. Ia mungkin tidak menyelesaikan semua tetapi jelas satu langkah ke hadapan.

Selepas berbulan-bulan, proses pembinaan semula di bawah kendalian kementerian amat lembab. Kontraktor yang dilantik tidak konsisten, ada penduduk diberitahu rumah mereka hanya akan dibaiki sebahagian walaupun strukturnya jelas berbahaya.

Ada pula mendapati pendawaian, paip air, dan bumbung tidak termasuk dalam kerja-kerja baik pulih.

Lebih mengecewakan, sesetengah mangsa diminta menandatangani ‘surat setuju terima’ yang seakan-akan menggugurkan hak mereka untuk mengambil tindakan lanjut, walaupun skop kerja masih kabur.

Dalam keadaan serba tidak menentu ini, langkah Petronas Gas, walaupun lambat pada mulanya, semakin menyerlah. Mereka hadir secara konsisten, mendengar suara kami dan menyalurkan sumber pada perkara yang benar-benar penting seperti sokongan mental, pendidikan keselamatan, pemulihan komuniti dan kini, saluran tuntutan.

Tanggungjawab korporat bukanlah sekadar sidang media atau penyerahan cek bergambar sebaliknya tentang kesungguhan, kerendahan hati dan kesediaan berdiri bersama komuniti apabila kehidupan mereka musnah.

Erti sebenar tanggungjawab korporat bukanlah kesempurnaan dan bukan juga tiada kelemahan. Ia tentang keberanian untuk belajar, mengubah haluan serta mengambil tanggungjawab dalam bentuk yang membuatkan masyarakat rasa didengari dan dihargai.

Walaupun lantang mengkritik Petronas Gas pada awalnya, saya kini mengakui mereka menunjukkan contoh yang jelas di Putra Heights.

Surat ini bukan untuk memuji tetapi mengiktiraf kerana apabila debu akhirnya reda dan komuniti ini perlahan-lahan kembali membina ketenangan. Apa yang akan terus diingati bukan sekadar tragedi letupan tetapi siapa yang benar-benar memilih untuk berdiri bersama kami ketika sangat memerlukan. Itulah erti sebenar tanggungjawab.-UTUSAN

MENERUSKAN KEHIDUPAN
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN