DALAM sibuk memberi fokus terhadap isu atau masalah buli yang berlaku di sekolah dan di institusi pengajian tinggi (IPT), kita tidak seharusnya lupa mengenai isu atau masalah buli yang berlaku di tempat kerja. Harus diketahui, isu atau masalah buli boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk di tempat kerja.
Isu atau masalah buli yang berlaku di tempat kerja boleh dikatakan berlaku di setiap jenis sektor pekerjaan. Selalunya mangsa terdiri daripada golongan pekerja muda dan pekerja bawahan.
Mereka yang melakukan kegiatan buli pula selalunya terdiri daripada kakitangan senior. Golongan ini memiliki kuasa dalam sesebuah tempat kerja atau organisasi.
Negara sudah lama wujudkan pelbagai jenis peruntukan undang-undang serta polisi yang berkaitan dengan tempat kerja bagi memastikan semua majikan serta pekerja menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik-baiknya seperti termaktub dalam Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan lain-lain lagi.
Pada Julai lalu, pindaan dilakukan terhadap undang-undang jenayah. Penguatkuasaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 memasukkan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan kesalahan berkaitan gangguan, ancaman, perbuatan membuli, penghinaan serta penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk situasi yang mendorong kepada cubaan membunuh diri dan jika orang yang diprovokasi cuba membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu.
Negara kita juga mewujudkan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840).
Pihak majikan juga perlu lebih bertoleransi dalam memberi tugasan kepada seseorang pekerjaannya. Pihak majikan tidak seharusnya membebani pekerjanya dengan pelbagai jenis tugasan di luar kemampuan pekerjanya. Penting juga pihak majikan merangka Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih realistik serta sesuai dengan keadaan tempat kerja masing-masing.
Pihak majikan juga mesti memberi penghargaan atau pengiktirafan terhadap pekerja yang melaksanakan tugasan kerja yang diberikan dengan baik.
Sebagai balasan, pihak pekerja juga mesti melaksanakan sesuatu pekerjaan yang diamanahkan dengan baik dengan tidak leka serta cuai terhadap tugasan yang diberikan. Pihak pekerja perlu menghargai segala kemudahan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak majikan kepada mereka.
Budaya toleransi, kerjasama serta sifat faham memahami antara satu sama lain antara majikan dan pekerja adalah amat penting bagi mewujudkan sebuah persekitaran tempat kerja yang harmoni, kurang tekanan serta bebas daripada kegiatan pembulian.
Mangsa buli di tempat kerja juga harus berani bersuara terhadap kegiatan buli yang dialami oleh mereka. Mangsa buli di tempat kerja ini tidak boleh hanya duduk diam serta pasrah terhadap isu atau masalah buli yang dihadapi oleh mereka.
Mangsa buli ditempat kerja harus dapatkan bantuan segera dengan menghubungi pegawai sumber manusia di tempat mereka bekerja ataupun mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak yang mereka percayai dan rasa selesa seperti di mana-mana agensi kerajaan ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)









