Bertindak tegas pada pihak yang cetus kebencian antara kaum, agama

Bertindak tegas pada pihak yang cetus kebencian antara kaum, agama

BETAPA perlunya setiap rakyat pelbagai bangsa dan kaum mengukuhkan ikatan perpaduan sesama mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA menyokong penuh ingatan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kebencian antara agama dan kaum di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau percaya kepada amalan demokrasi dan kebebasan namun perlu ada batasnya terutama di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum serta agama.

Katanya, jika ada sesiapa yang mencipta, atau menghasut kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama, kerajaan akan bertindak tegas terhadap mereka.

Beliau menambah, perbuatan sedemikian tidak boleh dibiarkan kerana ia menjerumus kepada kehancuran asas perpaduan dalam negara.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia Kali Kedua di Petaling Jaya baru-baru ini.

Sememangnya benar dengan apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri itu, betapa perlu setiap rakyat pelbagai bangsa dan kaum mengukuhkan ikatan perpaduan sesama mereka.

Jika tiada semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di sesebuah negara sudah tentu sukar bagi kerajaan hendak membangunkan negara untuk rakyat.

Justeru saya berharap setiap rakyat tidak salah faham tentang ingatan yang diberikan oleh Perdana Menteri kerana segalanya untuk kepentingan negara dan rakyat sendiri.-UTUSAN

RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×