PROGRAM Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 diadakan baru-baru ini merupakan antara usaha berterusan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap isu penderaan, pengabaian dan eksploitasi kanak-kanak, selaras dengan pelaksanaan Akta Kanak-Kanak 2001.
Pelaksanaan program advokasi kanak-kanak sebelum ini dijalankan di sekolah-sekolah kepada 30 buah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di seluruh Malaysia. Inisiatif ini mencerminkan komitmen dalam memperkukuh advokasi perlindungan kanak-kanak, sebagai satu gerakan nasional yang menyeluruh dan inklusif.
Usaha perlindungan kanak-kanak perlu digerakkan secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat. Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan bahawa sebanyak 650 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak telah dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga Jun 2025, termasuk 95 kes dari daerah Brickfields sahaja.
Data ini menunjukkan perlunya penglibatan aktif semua pihak, termasuk komuniti dalam menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dan pihak berkuasa. Sepanjang tahun 2024, program advokasi kanak-kanak telah dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negara, termasuk tujuh buah sekolah di Kuala Lumpur yang melibatkan 2,519 peserta. Program ini juga telah dilaksanakan di dua sekolah dalam daerah Brickfields yang melibatkan 1,350 peserta.
Bagi tahun 2025, kerajaan menyasarkan pelaksanaan program ini di 300 buah sekolah seluruh negara. Dalam era pendigitalan, risiko penderaan dalam talian seperti buli siber dan eksploitasi seksual juga semakin membimbangkan. Justeru, masyarakat diseru agar lebih peka dan segera melaporkan sebarang kes melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp ke 0192615999. – UTUSAN
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga Dan Masyarakat










