“Rakyat mana tahu” ungkapan yang sering terpacul dari mulut segelintir pihak yang memegang tampuk kuasa apabila timbul isu-isu yang menyentuh integriti dan amanah. Ia bukan sekadar ungkapan kosong, tetapi menggambarkan sikap meremehkan kecerdasan rakyat, merendahkan keupayaan pemikiran masyarakat awam dan yang paling parah, menyembunyikan kebenaran di balik tabir pentadbiran.
Korupsi bukanlah perkara baharu dalam sejarah Malaysia. Daripada skandal besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang memalukan nama negara di mata dunia, sehinggalah kepada pelbagai bentuk penyelewengan kecil di peringkat akar umbi, semuanya menunjukkan budaya salah guna kuasa dan ketirisan mengakar sejak sekian lama.
Lebih membimbangkan ialah bagaimana isu-isu ini sering kali ditanggapi dengan penuh sinis oleh sesetengah pemimpin. Mereka tidak berusaha memperbaiki atau memperbetul keadaan tetapi membina tembok penafian dan menyebar kabus keraguan di mata rakyat.
Namun, kenyataan ini tidak lagi terpakai dalam konteks zaman moden yang didorong maklumat dan kesedaran. Rakyat hari ini bukan lagi masyarakat yang boleh dikaburi dengan propaganda semata-mata. Mereka kini lebih celik, kritikal dan berani bertanya.
Akses kepada pelbagai platform digital, laporan audit awam, media alternatif dan jaringan sosial membuka ruang bagi masyarakat mengetahui kebenaran yang sebelum ini cuba diselindung. Ironinya, ketika rakyat semakin bijak, segelintir pemimpin masih kekal dalam zon selesa dan bertindak seolah-olah mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa perlu menjelaskan kepada sesiapa.
Dalam sistem demokrasi, rakyat adalah pemilik mutlak kuasa. Kuasa yang diberi kepada pemimpin hanyalah bersifat sementara, bersyarat dan tertakluk kepada kepercayaan yang diberikan melalui undi. Maka apabila amanah itu dikhianati melalui korupsi, ia bukan sekadar kesalahan undang-undang tetapi pengkhianatan terhadap kontrak sosial antara pemerintah dan yang diperintah.
Setiap sen yang hilang akibat rasuah adalah kecurian daripada poket rakyat. Ia adalah wang yang sepatutnya digunakan untuk membina sekolah di kawasan pedalaman, menambah baik sistem kesihatan awam atau meningkatkan kebajikan golongan miskin.
Lebih malang lagi apabila rakyat yang bersuara pula dicop sebagai pembangkang, penghasut atau musuh negara. Kritikan terhadap korupsi dilihat sebagai ancaman bukannya peluang untuk pembetulan. Mereka yang berani membongkar penyelewengan sering kali diugut, didakwa atau disisih.
Dalam budaya begini, siapa yang berani akan dibungkam dan siapa yang diam akan dipuji. Maka, timbullah budaya ketakutan yang menjadikan rasuah sebagai norma yang diterima diam-diam sehinggalah skandal besar terbongkar dan rakyat terpaksa menanggung malu di mata dunia.
Sudah tiba masanya rakyat menolak naratif lapuk ini dan menuntut perubahan sistemik. Pendidikan sivik perlu ditekankan agar rakyat memahami peranan mereka sebagai pengundi, pembayar cukai dan penjaga amanah. Media perlu bebas melaporkan tanpa sekatan atau ugutan, manakala badan kehakiman dan penguatkuasaan mesti dibiarkan bebas menjalankan tugas tanpa campur tangan politik. Pemimpin yang terbukti terlibat dengan rasuah mesti dijatuhkan hukuman setimpal, bukan dilindungi atas nama kesetiaan politik.-UTUSAN
AZIZUL ASYRAF
Kuala Lumpur










