Murid perlu mahir berkomunikasi, kerja secara berpasukan

Murid perlu mahir berkomunikasi, kerja secara berpasukan

TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) melatih murid dalam bidang penyiaran, komunikasi, teknologi serta kerja berpasukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 2021 telah memperkenalkan inisiatif TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) bagi melatih murid dalam bidang penyiaran, komunikasi, teknologi serta kerja berpasukan.

TVPSS berfungsi sebagai stesen televisyen mini di bawah seliaan Pusat Sumber Sekolah (PSS), dikendalikan sepenuhnya oleh murid dan guru. Melaluinya, pelbagai kandungan seperti berita, pengumuman, dokumentari, bual bicara dan ulasan buku dihasilkan oleh murid sendiri. Murid dilatih menjadi wartawan, juruhebah, jurukamera, penyunting video, pengacara program dan juga penerbit rancangan.

Inisiatif ini sejajar dengan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) yang menekankan kolaborasi, kreativiti, pemikiran kritis serta penggunaan teknologi. Dalam dunia digital masa kini, murid tidak lagi boleh jadi pengguna pasif. Mereka perlu menjadi pencipta kandungan yang beretika dan bertanggungjawab.

TVPSS membuka ruang kepada pelajar untuk menjadi lebih celik media, mahir berkomunikasi dan membina keyakinan diri.

Lebih penting, TVPSS mengasah kemahiran sebenar dunia penyiaran. Murid belajar menulis skrip, merakam, menyunting video serta menghasilkan kandungan digital secara profesional. Ini adalah latihan praktikal yang menggabungkan unsur Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sangat relevan dengan keperluan industri masa hadapan.

Murid bukan sahaja memperkukuh jati diri melalui kandungan berunsur nilai dan budaya tempatan, malah membina kecekapan teknikal serta keberanian untuk menyuarakan pendapat secara matang.

TVPSS bukan lagi ruang sampingan tetapi ‘makmal pendidikan digital’ yang membina generasi muda yang berdaya saing. Ia mencorakkan pelajar menjadi lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan, khasnya dalam sektor penyiaran, komunikasi digital dan industri kreatif.

Kini, cabarannya ialah bagaimana pihak sekolah dan masyarakat memberi ruang kepada murid untuk terus mencuba, mencipta dan berkembang sebagai pemimpin komunikasi masa hadapan. – UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH DAN MOHD. RADZMAN BASINON
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN