Merdeka sebenar apabila masyarakat bebas dari budaya buliMerdeka sebenar adalah apabila masyarakat bebas daripada budaya buli

Merdeka sebenar adalah apabila masyarakat bebas daripada budaya buli

KEMERDEKAAN sebenar bukan sekadar bebas dari penjajahan fizikal tetapi juga daripada budaya penindasan seperti buli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ERTI kemerdekaan tidak hanya terletak pada kibaran Jalur Gemilang tetapi bagaimana kita hidup dengan bebas daripada segala bentuk penindasan.

Antara cabaran terbesar ialah membebaskan masyarakat daripada budaya buli yang membelenggu dan meragut rasa keamanan insan lain. Gejala buli amat sukar dibendung kerana ia bukan sahaja berlaku dalam kalangan generasi muda, malah turut berakar umbi merentasi pelbagai lapisan masyarakat.

Dari bangku persekolahan lagi kita diajar pejuang negara dahulunya bangkit menentang penjajahan demi membebaskan tanah air daripada penindasan. Namun berbeza pula dengan generasi hari ini yang perlu bangkit menentang penjajahan berbentuk sikap negatif yang menghakis kemanusiaan.

Mampukah roh kemerdekaan disuburkan dalam jiwa bangsa hari ini jika budaya mengejek, memperlekeh dan menindas insan lain masih bermaharajalela?

Hakikatnya, jika gejala buli terus berleluasa, maka akan ada jiwa-jiwa yang hidup dalam ketakutan.

Barangkali ada antara kita yang kurang menyedari kemerdekaan hanya akan bermakna apabila disulami dengan perpaduan. Sejarah membuktikan kemerdekaan mampu dicapai hasil daripada penyatuan rakyat yang berbilang kaum.

Namun, budaya buli hanya mencetuskan jurang dan perpecahan. Oleh itu, semangat kemerdekaan wajar dizahirkan melalui sikap saling menghormati, memupuk empati dan menyemai kasih sayang sesama insan.

Menyedari ancaman serius budaya buli terhadap perpaduan bangsa, kerajaan turut mengambil langkah tegas bagi membanteras jenayah buli secara menyeluruh.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan sokongan terhadap pelaksanaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 melalui kerjasama merentasi kementerian dan agensi.

Namun, tekad kerajaan itu tidak sempurna andai tidak disambut rakyat dengan jiwa luhur demi membina masyarakat yang beradab dan berperikemanusiaan.

Di sebalik usaha itu, ia juga menuntut agar setiap pembuli dipertanggungjawabkan secara adil tanpa mengira latar belakang mahupun pangkat.

Hal ini penting agar undang-undang mampu menjadi benteng kepada yang lemah dan peringatan kepada yang bersalah.

Undang-undang yang dilaksanakan dengan saksama menjadi cerminan kemerdekaan bukanlah sekadar sejarah tetapi janji yang berterusan untuk melindungi maruah insan.

Namun, keadilan sahaja tidak mencukupi jika pembuli tidak memahami kesakitan yang mereka timbulkan. Sekiranya menempatkan diri di posisi mangsa, pasti mereka sendiri tidak ingin ditindas.

Justeru, mereka perlu sedar setiap perbuatan buli menabur kesengsaraan yang sama. Pendidikan, kesedaran sosial dan penguatkuasaan undang-undang perlu berjalan seiring agar setiap individu memahami kebebasan sebenar hanya wujud apabila setiap yang masih bernyawa dapat menjalani hidup tanpa ketakutan.

Tuntasnya, erti kebebasan yang sebenar bukan hanya terletak pada kibaran bendera tetapi pada jiwa yang saling menghormati dan teguh memelihara kesejahteraan bersama.

Dengan jiwa-jiwa yang bersatu, lahirlah masyarakat merdeka yang sebenar. Semoga Hari Kebangsaan tahun ini menjadi titik tolak lahirnya masyarakat yang menyuburkan nilai kemanusiaan agar cahaya merdeka terus menyinari generasi masa hadapan.-UTUSAN

FARHANA ABD HAMID
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×