Makna disebalik kemerdekaan negara pada 5 Safar

Makna disebalik kemerdekaan negara pada 5 Safar

KEMERDEKAAN yang diperoleh pada hari ini merupakan pengorbanan daripada generasi terdahulu demi memastikan kita dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan yang aman dan harmoni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMERDEKAAN Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 bukanlah datang sewenang-wenangnya daripada penjajah tetapi hasil daripada perjuangan panjang yang disulam dengan keringat, jerih payah, darah dan kebijaksanaan para pejuang bangsa.

Pada 31 Ogos 1957 bersamaan dengan 5 Safar 1377 Hijrah membawa makna yang lebih mendalam jika dilihat dari sudut takwim Islam. Malangnya, aspek ini jarang disebut dan diketahui masyarakat umum, seolah-olah sejarah kemerdekaan terpisah daripada kerangka keagamaan yang telah lama bertapak dalam masyarakat Melayu.

Sejak dahulu lagi, masyarakat Melayu hidup berpandukan takwim Hijrah. Apabila datangnya penjajah Barat, sistem Masihi mula menggantikan kalender Islam atau dikenali sebagai Kalender Hijrah.

Bulan Safar juga amat sinonim dengan kepercayaan khurafat masyarakat Melayu yang kononnya bulan yang membawa perkara buruk dan malapetaka.

Namun, kepercayaan ini terbantah secara jelas apabila tarikh kemerdekaan Tanah Melayu dipilih pada 31 Ogos 1957 bersamaan 5 Safar 1377. Justeru, masyarakat Melayu hendaklah membebaskan diri daripada pemikiran khurafat ini sebelum ia terus meracuni fikiran generasi akan datang.

Penentuan tarikh kemerdekaan oleh Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memainkan peranan utama dalam proses penentuan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau mengetuai rombongan Merdeka, mengadakan rundingan dengan pihak British di London, yang kemudian berjaya mendapat persetujuan untuk kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Pengumuman rasmi dibuat pada 20 Februari 1956 di Padang Bandar Hilir, Melaka yang mana kemerdekaan akan diisytiharkan pada 31 Ogos 1957 berdasarkan perjanjian ditandatangani pada 8 Februari 1956 di London.

Berkenaan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Tunku telah meminta nasihat daripada Syeikh Abdullah Fahim yang merupakan seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Tunku percaya pandangan beliau diperlukan untuk menentukan tarikh yang baik dan penuh makna untuk peristiwa bersejarah tersebut.

Sheikh Abdullah Fahim berpendapat jika Tanah Melayu tidak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, maka tarikh alternatif yang sesuai ialah 31 Ogos 1962. Tarikh 31 Ogos 1957 dalam bahasa Arab adalah Am Khir Atana yang membawa maksud tahun baik datang kepada kita.

Tuntasnya, kemerdekaan yang diperoleh pada hari ini merupakan pengorbanan daripada generasi terdahulu demi memastikan kita dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan yang aman dan harmoni. Setelah pelbagai ikhtiar dilakukan untuk mencapai kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman tidak lupa untuk meminta pandangan daripada tokoh ulama seperti Syeikh Abdullah Fahim tentang pemilihan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.

Ketelitian delegasi Tunku Abdul Rahman dalam pemilihan tarikh dari perspektif Islam menunjukkan kesungguhan mereka untuk memastikan kemerdekaan kita benar-benar bermakna dari segi duniawi dan ukhrawi.

Oleh itu, rakyat Malaysia perlulah menghayati kemerdekaan ini dengan sebaiknya dan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang sahaja pada tarikh berkenaan.-UTUSAN

MUHAMMAD ARSYAD ABDUL HALIM, MUHAMMAD NAJMUDIN NADZRI & HANNAN ABD. RASHID
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×