PENULIS merasa bertanggungjawab untuk menulis di ruangan Forum ini kerana merasakan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak serius menjaga isu keselamatan di kawasan pentadbiran mereka. PBT yang dimaksudkan di sini ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Secara spesifik, longkang yang terdedah ini terletak di Persiaran Sukan, Seksyen 13, Shah Alam.
Umum mengetahui antara tanggungjawab hakiki sesebuah PBT mahupun swasta, adalah menjaga aset-aset supaya berada dalam keadaan selamat, tidak cacat ataupun sakit mata memandang.
Sekiranya aset tersebut berada dalam keadaan membahayakan penduduk, maka orang ramai pasti merasa kurang yakin terhadap keberkesanan serta tadbir urus PBT. Sementelah, MBSA diberikan penarafan PBT Lima Bintang pada setiap tahun, oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Justeru, penulis ingin menggesa agar pihak MBSA menutup longkang yang terdedah dengan serta-merta. Aset yang hodoh dan merbahaya ini dapat dilihat oleh ribuan pemandu kenderaan yang melalui jalan ini.
Sejujurnya, penulis telah memerhatikan situasi aset ini sejak 23 Julai 2024 lagi. Penulis mula memberikan maklum balas kepada pihak MBSA dengan menghantar e-mel kepada Datuk Bandar Shah Alam, pada 8 Julai, lalu. Isu yang sama dihantar ke laman media sosial X MBSA (@sacitycouncil) pada 9 Julai, lalu. Namun kesemuanya tidak mendapat respons.
Penulis juga menghantar ciapan kali kedua, pada 23 Julai. Pemantauan juga dibuat pada pagi hari Khamis, 24 Julai, namun tiada tindakan diambil pihak MBSA.
Diharapkan, dengan tersiarnya aduan tentang kecacatan longkang di ruangan ini, membolehkan pihak MBSA mengambil tindakan betul dengan menutup kembali longkang yang terdedah serta-merta.-UTUSAN
KAMARUDDIN HASSAN
Seksyen 8, Shah Alam










