Saban tahun, tatkala musim tengkujuh, banjir melanda kebanyakan kawasan di pantai timur negara. Ramai individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan aktiviti sukarelawan bagi menghulurkan pelbagai bentuk bantuan. Golongan belia yang terdiri daripada mahasiswa turut terlibat secara aktif bagi mengurangkan beban dan kesedihan yang ditanggung mangsa-mangsa banjir.
Dalam kursus-kursus kokurikulum juga, terdapat teras khidmat masyarakat atau projek akhir ditawarkan universiti menyahut inisiatif memberikan sumbangan kepada masyarakat.
Aktiviti khidmat masyarakat bukan hanya terhad apabila bencana berlaku tetapi boleh dihulurkan pada bila-bila masa sahaja kepada golongan yang memerlukan. Hal ini kerana pelbagai kebaikan dan faedah yang mampu mereka peroleh sekiranya melibatkan diri dalam aktiviti sebegini. Antaranya :
– Menimbulkan kesedaran tentang kesusahan yang dihadapi masyarakat
Ia dapat membantu meluaskan kesedaran terhadap kesusahan atau masalah yang dialami sebahagian masyarakat. Contohnya, banjir yang melanda kawasan perkampungan banyak memusnahkan atau merosakkan harta benda penduduk kampung.
Oleh itu, sukarelawan dapat menyumbang kepada kebajikan penduduk terjejas agar dapat meneruskan kehidupan mereka kembali. Secara tidak langsung, situasi ini akan membuka mata pelbagai pihak memahami keadaan yang sukar.
– Mewujudkan masyarakat yang penyayang dan bersatu padu
Apabila mahasiswa terlibat aktiviti sukarelawan seperti menjalankan gotong-royong untuk mangsa banjir, mereka pasti akan disayangi dan dihargai oleh mangsa yang terjejas. Bantuan yang diterima daripada orang yang tidak dikenali pasti akan melahirkan hubungan persaudaraan yang lebih baik.
Semangat bermasyarakat dan bersatu padu tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat akan terjalin. Situasi ini penting agar mereka yang tidak bernasib baik dapat manfaat untuk meneruskan hidup manakala yang membantu dapat mengambil iktibar. Kita tidak mahu menjadi masyarakat yang bersikap seperti anak di pangkuan kelaparan, kera di hutan disusukan.
– Membentuk keperibadian yang baik
Apabila menyertai aktiviti sukarelawan, pelbagai kemahiran dan pengetahuan akan diperoleh. Seseorang individu akan didedahkan kepada cara untuk berkomunikasi dengan lebih empati, menguruskan logistik dan sebagainya. Mereka akan terlibat dengan organisasi yang mempunyai ketua untuk menurut arahan, golongan penerima mendapat bantuan dan rakan sukarelawan yang memerlukan kerjasama antara satu sama lain.
Dengan menyelami kesusahan dan dugaan yang dihadapi penerima bantuan, ia akan membentuk seseorang untuk menjadi insan yang lebih baik.
– Melahirkan individu bersikap empati
Mereka secara tidak langsung dilatih untuk bersimpati malah lebih baik lagi untuk berempati dengan orang yang ditimpa musibah. Aktiviti sebegini dapat membuka hati mereka untuk terus bersedia dan menabur khidmat bakti kepada golongan yang memerlukan pada masa akan datang.
Melalui pengalaman turun padang dan berbakti kepada komuniti, mahasiswa dapat mengaplikasikan ilmu secara praktikal serta membina jati diri yang seimbang.
Justeru, khidmat masyarakat harus terus digalakkan sebagai usaha strategik untuk melatih generasi muda agar tidak hanya cemerlang dalam akademik tetapi juga bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara.-UTUSAN
DR. NURSYUHADA’ AB WAHAB
Guru Bahasa, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)







