USAHA yang dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan menghidupkan kembali suasana pertandingan bola sepak di Perlis amat dialu-alukan oleh para peminat bola sepak di negeri ini.
Setelah sekian lama suasana sunyi sepi apabila Perlis tidak terlibat dalam pertandingan-pertandingan bola sepak negara, baru-baru ini Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar gamat semula dengan aksi pemain dalam sukan berkenaan.
Kerinduan peminat dalam pertandingan bola sepak tempatan terubat apabila Perlis yang diwakili Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan Liga A1 Semi Pro menentang pasukan Kedah FA.
Semua pemain Perlis adalah anak tempatan yang diasuh sendirian di kampung-kampung hingga mampu ditonjolkan dalam sebuah pasukan mewakili negeri.
Semoga dengan kebangkitan semula sukan bola sepak di Perlis, akan muncul lagi nama-nama besar pemain bola sepak negeri ini sebagaimana kejayaan yang pernah dicapai suatu ketika dahulu.
Perlis yang digelar Singa Utara pernah menjadi juara Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta Liga Super 2005.
Di samping itu, pasukan Perlis juga pernah menjulang Piala Malaysia selain membawa pulang Piala Sumbangsih sebanyak dua kali serta menjadi finalis Piala FA sebanyak tiga kali.
Dalam masa kebangkitan itulah, muncul beberapa nama besar pemain bola sepak anak Perlis seperti Saidin Osman, Bakri Ibni, Ibrahim Saad, Norizan Bakar, Azizi Mat Rus dan beberapa pemain lain yang pernah beraksi dalam pasukan kebangsaan.
Semoga dengan kebangkitan semula arena sukan bola sepak di Perlis sekarang, diharapkan sejarah akan berulang dengan menonjolkan lebih ramai pemain tempatan untuk beraksi di peringkat negara.
Dengan semangat kental yang ada kepada pemain-pemain GSA FC, diharap pasukan tersebut akan terus mencatat kejayaan dalam Liga A1 Semi Pro, untuk membawa Perlis kembali beraksi dalam Liga Super pada musim akan datang. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










