Hutang dibawa mati: Amanah yang ramai pandang ringan

Hutang dibawa mati: Amanah yang ramai pandang ringan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMAKIN ramai individu mengambil jalan mudah iaitu dengan berhutang tanpa niat untuk membayar atau lebih teruk, melarikan diri daripada tanggungjawab mereka setelah mendapat manfaat kewangan.

Perbuatan lari daripada hutang bukan sahaja salah dari segi undang-undang, tetapi juga jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang menekankan amanah dan kejujuran dalam setiap hal ehwal berkaitan kewangan.

Berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 282, ia jelas bukan sahaja membincangkan berkaitan keharusan berhutang, malah menegaskan pentingnya mencatat setiap urusan transaksi dan menepati perjanjian agar tidak berlaku kezaliman atau penganiayaan antara kedua-dua pihak.

Fenomena ini bukan sahaja mampu untuk merosakkan kepercayaan dalam sistem pinjaman sama ada antara individu, institusi perbankan mahupun koperasi tetapi turut mengancam struktur masyarakat. Peminjam tegar yang tidak melunaskan hutang bukan sekadar menyusahkan pemberi hutang, malah perbuatan seperti ini akan menyebarkan budaya tidak amanah dan tidak bertanggungjawab kepada generasi muda.

Rasulullah SAW tidak mensolatkan jenazah orang yang berhutang, sehinggalah hutangnya dijelaskan. Ini menggambarkan betapa seriusnya urusan yang berkaitan hutang di sisi agama. Hutang yang tidak dilangsaikan boleh menjadi beban akhirat, walaupun ia sudah ‘dilupakan’ oleh masyarakat. Sikap melarikan diri daripada hutang juga boleh menjatuhkan maruah seseorang.

Hadis Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi menunjukkan bahawa hutang yang tidak dibayar boleh menyebabkan terhalangnya seseorang itu daripada mencapai ketenangan di alam barzakh. Maka, mereka yang sengaja mengelak daripada membayar hutang sedang memperjudikan nasib akhirat mereka sendiri.

Namun hari ini, kita menyaksikan terdapat golongan yang hidup mewah dengan barangan berjenama dan percutian mewah sedangkan hutang lama masih belum dijelaskan. Lebih menyedihkan, ada yang memperalatkan agama untuk tujuan peribadi dengan memberikan alasan yang beralaskan unsur-unsur agama untuk mengelak daripada membayar hutang, sedangkan prinsip asas dalam muamalat Islam menuntut pembayaran semula berdasarkan akad dan janji.

Apabila hutang tidak dibayar, ia bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang memberi pinjaman, tetapi turut mengganggu ekosistem ekonomi mikro. Ramai usahawan kecil yang tumbang kerana modal mereka tidak kembali akibat pelanggan atau rakan kongsi yang mungkir janji.

Di peringkat institusi pula, kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) boleh mengakibatkan syarikat muflis dan kehilangan pekerjaan. Dalam jangka panjang, sikap lari daripada hutang ini akan menjejaskan keyakinan terhadap institusi kewangan, koperasi dan skim pinjaman rakyat.

Hadis Riwayat al-Bukhari menunjukkan bahawa niat seseorang individu ketika berhutang amat penting. Jika niatnya tidak jujur, bukan sahaja ia menzalimi orang lain, malah akan menerima balasan buruk di dunia dan akhirat.

Dari sudut sosial, tindakan melarikan diri daripada hutang akan mewujudkan rasa tidak percaya dalam masyarakat. Hubungan persaudaraan boleh retak, perniagaan kecil boleh lumpuh dan ekonomi mikro akan terjejas. Jika dibiarkan berterusan, budaya tidak amanah ini akan mewujudkan masyarakat yang pentingkan diri dan tidak menghormati hak orang lain.

Malah, ia juga boleh mendorong orang ramai untuk memilih jalan haram seperti riba apabila pemberi hutang telah hilang kepercayaan kepada sistem sedia ada akibat daripada perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak yang melarikan diri daripada hutang. – UTUSAN

DR. MOHD. SHAHID AZIM MOHD. SAUFI
Universiti Teknologi Mara
(UiTM) Cawangan Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN