TANGGAL 11 Julai lalu, dunia memperingati ulang tahun ke-30 tragedi berdarah yang meninggalkan parut kekal dalam sejarah kemanusiaan, iaitu tragedi Srebrenica. Peristiwa hitam yang tercatat sebagai genosid, iaitu pembunuhan beramai-ramai paling kejam di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Tiga dekad berlalu, lukanya masih berdarah. Meskipun Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk bekas Yugoslavia (ICTY) mengklasifikasikan sebagai genosid dan menjatuhkan hukuman kepada beberapa tokoh utama, namun ahli keluarga mangsa masih belum menemui jenazah insan tersayang.
Sehingga hari ini, usaha mencari kubur-kubur besar masih dijalankan dan pengecaman mayat diteruskan.
Memperingati tragedi ini bukan sekadar mengenang sejarah masa silam, namun terdapat beberapa iktibar buat komuniti antarabangsa agar kejadian serupa tidak berulang. Pertama, tragedi ini menunjukkan bagaimana ideologi kebencian berasaskan kaum, bangsa dan agama boleh membawa kehancuran dan genosid.
Kedua, umat Islam perlu membina kekuatan melalui kesatuan, pendidikan dan kebangkitan kesedaran sejagat.
Ketiga, tragedi ini memperlihatkan bagaimana komuniti antarabangsa gagal melindungi pihak yang tertindas. Persis seperti mana tragedi pembunuhan hampir 1 juta suku Tutsi oleh suku Hutu di Rwanda selama 100 hari bermula 6 April sehingga pertengahan Julai 1994, tragedi
Srebrenica jelas menunjukkan kegagalan berterusan komuniti antarabangsa untuk melaksanakan campur tangan segera demi menjaga keamanan dan perdamaian dunia, khususnya dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan jenayah genosid.
Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan pernah melontarkan kritikan, “…jika campur tangan kemanusiaan sesungguhnya ialah serangan yang tidak dapat ditoleransi terhadap kedaulatan, bagaimana seharusnya kita menghadapi serangan di Rwanda, hingga Srebrenica – terhadap pelanggaran hak asasi manusia secara besar-besaran dan sistematik yang mempengaruhi setiap pedoman kemanusiaan kita?”
Berdasarkan tragedi menyayat hati dan menyentuh nurani kemanusiaan yang berlaku di Rwanda dan Srebrenica, negara-negara anggota di Perhimpunan Agung PBB seharusnya bersepakat dan bersikap tegas dalam memperkasa serta mengimplementasikan undang-undang berkaitan jenayah genosid.
Komitmen untuk mencegah jenayah genosid ini juga diperkukuhkan melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang berulang kali menyatakan Konvensyen Genosid merangkumi prinsip-prinsip yang merupakan sebahagian dari undang-undang antarabangsa adat umum.
Hari ini, dunia sekali lagi menyaksikan penderitaan yang sama, genosid berterusan terhadap rakyat Gaza. Seperti Srebrenica dahulu, umat Islam juga yang menjadi sasaran kerakusan pihak penindas.
Tragedi Srebrenica mengajarkan diam itu menyokong kezaliman, manakala situasi semasa di Gaza menguji apakah umat manusia masih punya hati nurani. Umat Islam khasnya dan komuniti antarabangsa amnya perlu bangkit, bersuara dan bertindak demi masa hadapan kemanusiaan sejagat. – UTUSAN
DR. MUHAMMAD FAHMI MD RAMZAN
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor










