SEJAJAR dengan aspirasi kerajaan menjadikan wakaf sebagai instrumen utama dalam memperkukuh sosioekonomi ummah, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) kekal komited dan proaktif dalam memperkasa kutipan serta agihan wakaf tunai di seluruh negara. Sebagai entiti wakaf di peringkat persekutuan, YWM memainkan peranan sebagai pelengkap kepada usaha majlis agama Islam negeri dalam aspek pembangunan dan pengurusan harta wakaf secara bersepadu dan berstrategik.
Selaras dengan kelulusan kod potongan gaji wakaf kepada YWM, inisiatif ini membolehkan penjawat awam melaksanakan ibadah wakaf secara berkala dengan lebih mudah dan sistematik. Usaha ini turut diperkukuh melalui sokongan kerajaan menerusi Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 : Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela bagi Pegawai Awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan dan negeri.
Hasil pelaksanaan inisiatif ini, sebanyak lapan majlis agama Islam negeri telah bersetuju untuk menggunapakai kod potongan gaji wakaf YWM. Pendekatan ini memudahkan penjawat awam yang berkhidmat di negeri-negeri tersebut untuk berwakaf secara konsisten, dengan memilih agar sumbangan wakaf disalurkan terus ke majlis agama negeri masing-masing. Agihan dana wakaf ini dilaksanakan oleh YWM kepada majlis agama terlibat secara suku tahunan. Sehingga kini, majlis agama yang terlibat ialah Kedah, Johor, Terengganu, Melaka, Sabah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Perlis.
Dana Wakaf Tunai Malaysia bagi tahun 2024 kepada majlis agama yang berkaitan telah diserahkan dengan nilai agihan keseluruhan berjumlah RM889,493.65. Agihan ini bukan sahaja memberi impak signifikan kepada agenda pemerkasaan bumiputera, malah memperkukuh hubungan erat antara agensi di peringkat persekutuan dan negeri dalam memperluas penerimaan, pengurusan dan agihan wakaf tunai secara sistematik dan berimpak tinggi.
Kerjasama berterusan ini diyakini akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi, kesejahteraan sosial masyarakat dan kemampanan wakaf di Malaysia, seiring dengan gagasan Membangun Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.
YWM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pewakaf yang sentiasa menyokong inisiatif wakaf di bawah YWM.
Setiap sumbangan wakaf di bawah Skim Wakaf Tunai Malaysia YWM adalah merupakan projek berkepentingan nasional, yang membolehkan setiap pewakafan tunai kepada YWM layak mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967. Kini bermula serendah RM1, anda boleh berwakaf secara potongan gaji di YWM atau salurkan sumbangan wakaf ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia. – UTUSAN
Yayasan Waqaf Malaysia










