DALAM tempoh seminggu, dua kemalangan bas ekspres yang membawa pelajar universiti mengejutkan negara. Pada 9 Jun, sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (Gerik-Jeli) selepas melanggar sebuah Perodua Alza. Nahas ini mengorbankan 15 nyawa daripada 48 penumpang.
Beberapa hari kemudian, sebuah lagi bas membawa pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) juga terlibat kemalangan selepas melanggar belakang treler di Lebuhraya Pantai Timur, namun tiada kematian dilaporkan.
Mangsa yang terkorban ialah mahasiswa. Mereka adalah aset negara yang seharusnya menjadi pemimpin masa hadapan. Kehilangan ini bukan sekadar statistik kemalangan tetapi kerugian kepada negara dari segi potensi, masa hadapan dan harapan.
Laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan sepanjang musim Aidilfitri 2025, lebih 22,000 saman dikeluarkan dan 158 buah bas dilarang beroperasi atas isu keselamatan. Lebih 1,800 kesalahan direkodkan, termasuk pemandu menggunakan telefon bimbit dan tiada pemandu kedua.
Lebih membimbangkan, penguatkuasaan sedia ada gagal membendung pelanggaran. Ini menandakan perlunya budaya keselamatan dalaman yang lebih ketat dalam pengurusan syarikat bas. Pemeriksaan kenderaan harian, taklimat keselamatan, penilaian kesihatan pemandu serta pemantauan waktu rehat dan kerja masih kurang dilaksanakan.
Kecuaian dan keletihan dipercayai menjadi antara punca kemalangan. Namun, pemeriksaan kesihatan berkala terhadap pemandu bas masih longgar. Untuk memperbaharui lesen memandu vokasional (PSV), hanya pemeriksaan asas seperti penglihatan dan tekanan darah diperlukan. Tiada ujian jantung, kesihatan mental atau saringan dadah dan alkohol dilakukan secara berkala.
Sebagai perbandingan, pemandu tren di Malaysia perlu melalui latihan intensif selama enam hingga 12 bulan dan pemeriksaan kesihatan menyeluruh termasuk ujian psikologi, elektrokardiogram (ECG), ujian darah dan lain-lain sebelum dibenarkan bertugas. Sudah tiba masanya reformasi menyeluruh dilaksanakan. Antara langkah yang perlu diambil:
- Pemeriksaan kesihatan tahunan termasuk ujian jantung, mental dan narkotik.
- Latihan berkala untuk teknik pemanduan selamat dan pengurusan keletihan.
- Pembaharuan lesen PSV mesti disertakan dengan kelulusan pemeriksaan kesihatan lengkap.
- Pemantauan masa kerja dan rehat oleh syarikat secara sistematik.
- Penguatkuasaan undang-undang oleh JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) secara lebih menyeluruh.
Selain pencegahan, pengurusan krisis pasca tragedi juga perlu diberi perhatian. Komunikasi dengan keluarga mangsa perlu dilakukan dengan berhemah, empati dan tepat. Jurucakap syarikat atau pihak berkuasa perlu dilatih agar tidak mengeluarkan kenyataan tergesa-gesa atau bersifat mempertahankan diri.
Satu lagi aspek penting ialah tahap kesiapsiagaan orang awam dalam memberi bantuan kecemasan. Pengetahuan asas seperti bantuan pernafasan (CPR) atau menghentikan pendarahan boleh menyelamatkan nyawa. Maka, kursus asas bantuan kecemasan wajar diperluas kepada umum dan pemandu bas.
Keselamatan penumpang adalah tanggungjawab semua. Tragedi ini seharusnya menjadi titik tolak kepada reformasi menyeluruh sistem pengangkutan awam negara. Nyawa tidak boleh diganti tetapi sistem boleh diperbaiki. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. EZRIN HANI SUKADARIN & DR. KHAIRILMIZAL SAMSUDIN
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) & Universiti Sains Malaysia (USM)










