Malaysia perlukan barisan pemimpin muda berkualiti

Malaysia perlukan barisan pemimpin muda berkualiti

MALAYSIA perlukan pemimpin baharu serta lebih muda, sihat dan bertenaga untuk memimpin negara ini ke arah pembangunan dan kemajuan sesuai dengan kehendak masa kini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHNIAH diucapkan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana telah dilepaskan dan dibebaskan dari tuduhan jenayah oleh pihak Mahkamah Rayuan.

Buat sekian lama, Malaysia telah diterajui oleh orang lama dengan parti politik lama mereka. Sekarang, Malaysia perlukan pemimpin baharu serta lebih muda, sihat dan bertenaga untuk memimpin negara ini ke arah pembangunan dan kemajuan sesuai dengan kehendak masa kini.

Malaysia tidak boleh bergantung harap dan meletakkan nasib mereka hanya kepada orang-orang yang sudah lama berada dalam dunia politik. Walaupun orang-orang yang sudah lama ini memiliki banyak pengalaman, namun pengalaman mereka tidak akan membawa sebarang makna sekiranya ia tidak dapat memahami sepenuhnya kehendak generasi baharu dan segala masalah yang dihadapi rakyat dalam negara kita pada masa kini.

Hakikatnya, orang-orang lama ini sudah lama berada dalam politik, mereka sudah mula merasa selesa dengan kehidupan mereka, mereka juga sentiasa dikelilingi oleh orang-orang yang sentiasa memuji dan bodek mereka serta mereka tidak lagi dapat memahami sepenuhnya dunia realiti dan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka.

Orang muda juga dilihat kurang terpengaruh dengan sentimen politik dan proses perebutan kuasa kerana masa mereka lebih banyak digunakan bagi menambah ilmu pengetahuan dan mencari pengalaman. Oleh itu, amat mudah fokus diberikan oleh orang muda untuk menjalankan tugas, amanah dan tanggungjawab mereka sepenuhnya kepada rakyat.

Walaupun kurang dari aspek pengalaman, orang muda termasuk Syed Saddiq dilihat lebih berpengetahuan dan memiliki kepakaran untuk menjalankan kerja sesuai dengan suasana zaman moden pada ketika ini. Orang muda amat mudah belajar untuk menggunakan sebarang jenis aplikasi teknologi baharu dalam melakukan kerja mereka serta memberi khidmat kepada masyarakat.

Umum telah pun ketahui usaha yang telah diambil oleh Syed Saddiq dalam menyuarakan pendapatnya dalam sesuatu isu semasa melalui pelbagai media sosial serta ada dalam negara kita seperti X, Facebook, TikTok dan lain-lain lagi.

Ilmu pengetahuan dan kepakaran baharu dan moden sebeginilah yang amat diperlukan oleh semua pihak dalam negara kita ini di semua bidang pekerjaan termasuklah dalam bidang politik. Adalah penting pemimpin negara kita menguasai ilmu dan kemahiran teknologi bagi mendekati rakyat dalam negara kita.

Banyak idea kreatif dan inovatif yang telah digunakan oleh Syed Saddiq dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat. Beliau juga melaksanakan pelbagai aktiviti dan program bagi mendapatkan dana dalam membantu rakyat di kawasannya seperti dengan mengadakan kelas dalam talian untuk mengasah bakat berdebat, menjual pelbagai barangan serta hasil tulisannya, melakukan proses larian sejauh 200 kilometer bagi mencari dana peruntukan untuk kawasan Parlimennya dan lain–lain.

Beliau lantang bersuara mengenai pelbagai isu semasa yang berlaku dalam negara kita. Usaha yang diambil oleh Syed Saddiq ini dijangka akan menjadi pencetus semangat baharu dalam sejarah politik negara kita di mana arena politik negara kita akan mula diceburi dan dipelopori oleh golongan muda dan belia. – UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN