KENAIKAN kos sara hidup terus mencuri perhatian apabila harga barangan keperluan harian dilaporkan meningkat secara konsisten sejak awal tahun ini.
Peningkatan melibatkan kos makanan, perumahan dan pengangkutan memberi tekanan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk pelajar dan golongan muda yang baru memulakan kehidupan bekerja.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi Mei lalu menunjukkan Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat sebanyak 3.5 peratus berbanding bulan sama tahun lalu. Kenaikan ini didorong peningkatan mendadak harga makanan asas dengan purata kenaikan 5.2 peratus melibatkan barangan penting seperti beras, telur, ayam dan minyak masak.
Keadaan ini menjejaskan kuasa beli pengguna, terutama pelajar universiti yang kebanyakannya bergantung pinjaman pendidikan serta pekerjaan sambilan. Begitu juga sektor pengangkutan turut menyumbang peningkatan kos sara hidup.
Menurut data Bank Negara Malaysia, inflasi makanan kekal sebagai penyumbang utama inflasi negara. Pakar ekonomi pula menjelaskan kenaikan kos juga berpunca daripada struktur domestik yang lemah termasuk kadar gaji yang tidak selari dengan kos hidup.
Bagi menangani isu ini, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif namun, pemerhati ekonomi berpandangan langkah-langkah jangka pendek seperti ini tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu ini secara menyeluruh.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk memperkukuh dasar gaji minimum, meningkatkan produktiviti pekerja, serta menarik pelaburan strategik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah import. Di samping itu, isu kenaikan kadar sewa rumah turut memburukkan keadaan, khususnya di kawasan bandar. Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melaporkan purata sewa rumah di Lembah Klang meningkat antara 8 hingga 10 peratus berbanding tahun lalu.
Kos pendidikan tinggi yang semakin meningkat juga menambah beban pelajar universiti. Yuran pengajian di beberapa universiti awam dilaporkan meningkat antara 5 hingga 15 peratus sejak 2023, bergantung kepada kursus dan kampus masing-masing.
Kos harian termasuk makanan, pengangkutan dan bahan pembelajaran menyebabkan ramai pelajar terpaksa bekerja sambilan, sekali gus memberi kesan kepada prestasi akademik mereka.
Menjelang pembentangan Bajet akan datang, rakyat berharap kerajaan memperkenalkan langkah-langkah yang lebih holistik untuk menangani isu kos sara hidup.-UTUSAN
ANUAR ZULKIFLI & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),










