Hadkan pengetua dan guru besar keluar sekolah

Hadkan pengetua dan guru besar keluar sekolah

KEUTAMAAN utama Pengetua dan guru besar (PGB) ialah untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlangsung dengan baik dan berkesan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGETUA dan guru besar (PGB) merupakan pemimpin utama sesebuah institusi pendidikan. Mereka memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju, membentuk budaya kerja yang positif serta memastikan keberkesanan sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

Namun begitu, realiti yang semakin meresahkan ialah kecenderungan PGB yang terlalu kerap keluar menghadiri mesyuarat atau acara luar yang tidak begitu penting. Fenomena ini bukan sahaja mengganggu tugasan harian, malah menjejaskan pemantauan terhadap PdP yang merupakan nadi utama sesebuah sekolah.

Tugas memantau PdP bukan sekadar pemerhatian rutin, tetapi melibatkan analisis prestasi guru, pemantauan kualiti pengajaran dan tindakan susulan yang strategik bagi memperbaiki mutu pendidikan. Tanpa kehadiran PGB secara konsisten di sekolah, aspek-aspek kritikal ini tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Guru yang memerlukan bimbingan tidak mendapat perhatian yang sewajarnya, manakala pelajar pula terlepas peluang untuk mendapat pengalaman pembelajaran terbaik.

Dalam konteks pendidikan, mesyuarat dan acara luar sememangnya diperlukan untuk memperkukuh rangkaian dan pelaksanaan dasar. Namun begitu, tidak semua jemputan atau mesyuarat itu bersifat penting atau memberi impak langsung kepada sekolah. Kerap kali, PGB dijemput ke acara bersifat protokol, lawatan sosial atau mesyuarat berulang yang tidak membuahkan hasil yang signifikan. Masa yang diluangkan untuk menghadiri acara-acara ini boleh digunakan dengan lebih baik bagi memantau PdP dan memberi sokongan kepada guru serta pelajar.

Tambahan pula, apabila PGB tidak berada di sekolah, banyak keputusan pentadbiran tertangguh. Lebih malang lagi, sekiranya guru kanan terpaksa membuat keputusan sendiri tanpa mandat penuh, ia boleh membawa kepada konflik pentadbiran.

Daripada sudut pembangunan pelajar, pemantauan PGB membantu memastikan program-program sokongan murid berjalan lancar. Ini termasuk intervensi untuk pelajar lemah, pembinaan sahsiah dan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum. Tanpa pemantauan yang rapi, program-program ini sering kali kehilangan fokus dan tidak mencapai objektif asal. Malah, kehadiran PGB semasa aktiviti pelajar menunjukkan pihak sekolah memberi perhatian kepada keseimbangan antara akademik dan pembangunan diri.

Hubungan antara sekolah dan ibu bapa juga boleh terjejas jika PGB terlalu kerap tiada. Ibu bapa yang ingin bertemu bagi berbincang tentang perkembangan anak perlu membuat janji temu berulang kali atau pulang dengan tangan kosong apabila dimaklumkan PGB tiada. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dan memberi gambaran seolah-olah pihak sekolah tidak serius dalam membina kerjasama erat dengan komuniti.

Sebagai pemimpin, PGB perlu menunjukkan keutamaan yang jelas. Keutamaan utama ialah memastikan PdP berlangsung dengan baik dan berkesan. Oleh itu, kehadiran mereka dalam mesyuarat atau acara luar hanya wajar apabila ia benar-benar berkaitan dengan usaha meningkatkan kualiti sekolah. Sebarang acara yang tidak memberi nilai tambah sewajarnya ditolak dengan tegas demi kepentingan sekolah dan murid.

Sudah tiba masanya pihak atasan seperti Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menyemak semula kekerapan jemputan dan keperluan mesyuarat yang melibatkan PGB. Perlu ada sistem penapisan yang ketat bagi memastikan hanya acara penting yang melibatkan PGB, manakala wakil boleh dihantar untuk acara yang bersifat umum atau kurang kritikal. Ini akan membantu memastikan PGB kekal fokus dengan tugasan utama mereka di sekolah.

Dengan kemajuan teknologi, sebahagian besar mesyuarat boleh dijalankan secara dalam talian. Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah membolehkan PGB menghadiri mesyuarat sambil kekal berada di sekolah. Langkah ini perlu digalakkan secara meluas agar keberadaan pemimpin sekolah tidak terjejas walaupun mesyuarat tetap berlangsung seperti biasa.

PGB juga perlu diberikan kuasa dan kebebasan untuk menolak jemputan yang tidak relevan. Dalam beberapa keadaan, mereka merasa terpaksa hadir hanya kerana tekanan dari pihak tertentu atau budaya kerja yang sudah lama berakar. Perlu ada perubahan minda dan dasar supaya PGB tidak lagi dilihat sebagai wakil tetap kepada semua jemputan luar yang diterima oleh sekolah.

Kesan ketidakhadiran PGB bukan sahaja dirasai oleh guru dan pelajar, malah turut menjejaskan pencapaian keseluruhan sekolah dalam jangka panjang. Sekolah yang tidak dipimpin secara aktif akan berhadapan dengan pelbagai isu berpanjangan daripada kemerosotan pencapaian akademik, kelemahan sistem sokongan murid hingga kepada penurunan semangat kerja dalam kalangan warga sekolah.

Pemantauan PdP bukan tugas yang boleh dilakukan sekali-sekala. Ia memerlukan perhatian harian, pemerhatian teliti dan tindakan berterusan. PGB yang terlalu kerap akan menghilangkan sentuhan dengan situasi sebenar di bilik darjah. Akhirnya, segala laporan yang diterima hanyalah bersifat permukaan dan tidak menggambarkan realiti sebenar.-UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×