BARU-baru ini Kementerian Pertahanan mengumumkan jumlah pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1 Kumpulan ke-2 seramai 444 orang di dua kem berasingan di Kuala Lumpur dan Pekan, Pahang.
Ia mendapat respon baik daripada semua pihak terutama keluarga pelatih agar terus membimbing anak muda dari semasa ke semasa meskipun sudah beberapa bulan PLKN kembali aktif biarpun berhadapan dengan gerakan anti-PLKN.
Saya percaya usaha Kementerian Pertahanan dan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) serta pihak lain akan terus diperhebatkan selain menambah baik dari segi kemudahan, modul, petugas (jurulatih), pengurusan, perhubungan awam (PR) dan banyakkan kerjasama antara pihak terlibat dengan alumni PLKN agar sentiasa diterima oleh masyarakat.
Namun begitu, hanya seorang pelatih daripada kumpulan kedua mewakili golongan orang kurang upaya (OKU) kategori autisme ringan.
Ini menunjukkan usaha pelatih OKU lelaki berkenaan untuk mengajak golongan OKU lain di luar sana menyertai program ini. Walaupun tidak semua mendapat peluang disebabkan beberapa faktor antaranya kurang pengetahuan mengenai PLKN, status, kerisauan atau susah hendak bergaul dengan pelatih normal dari segi tutur kata, tingkah laku dan lain-lain.
Jika PLKN hendak menarik minat remaja OKU mestilah membuat tapisan sama ada layak atau tidak kerana susah mencari bakal pelatih dari golongan tersebut.
Bahkan, perlu ada kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan persatuan yang berkait rapat dengan golongan OKU agar dapat meyakinkan ibu bapa dan saudara mara.
Kerjasama ini bagi membolehkan pelatih OKU menjalani latihan dengan selesa. Beberapa pengecualian juga perlu dilakukan melibatkan latihan fizikal terutama penggunaan senjata api. Pun begitu, aktiviti ini boleh dilakukan golongan berkenaan sekiranya mampu dan ingin lakukan tanpa paksaan.
Bukan itu sahaja, bekas pelatih PLKN daripada golongan OKU turut memainkan peranan penting untuk menarik minat pelatih baharu. Mereka boleh berkongsi pengalaman dan ilmu sepanjang menyertai PLKN. Begitu juga dengan ibu bapa yang pernah menghantar anak istimewa mereka menyertai PLKN. Ini dapat mengurangkan keraguan jika hendak melepaskan anak menyertai kem ini sebagai pelatih sukarela bagi mengisi kekosongan individu enggan lapor diri.
Seperti mana dinyatakan, semua ini bergantung kepada usaha semua pihak agar remaja OKU tidak dipinggirkan dalam menyumbang kepada negara. Dalam masa sama golongan istimewa ini mendapat pelbagai maafaat termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila menyertai kem ini.
Oleh itu, saya menyeru ibu bapa yang mempunyai anak OKU bertubuh sihat agar tampil ke JLKN bagi mendapat khidmat nasihat jika mahu terlibat dalam PLKN.-UTUSAN
BEKAS PELATIH PLKN
Mewakili orang autism ringan Kuala Lumpur










