Berhati-hati dengan ‘pakar healing’ tanpa pengiktirafan

Berhati-hati dengan ‘pakar healing’ tanpa pengiktirafan

JIKA anda sedang mencari jalan untuk sembuh, carilah mereka yang profesional, terlatih serta terikat dengan etika.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM keterbukaan dunia moden terhadap isu kesihatan mental, semakin ramai tampil berbicara tentang emosi, trauma, luka batin dan kesejahteraan jiwa. Masyarakat kita kini lebih terbuka dan berani mencari pertolongan.

Namun, di sebalik kesedaran ini, muncul pula fenomena bahaya iaitu kehadiran individu-individu yang mengaku pakar, menyampaikan sesi ‘penyembuhan emosi’, namun tidak mempunyai kelayakan profesional, tidak terikat pada etika amalan sah dan tidak diiktiraf oleh mana-mana badan berautoriti.

Lebih membimbangkan, mereka hadir dengan imej meyakinkan, petah berkata-kata, penuh empati dan bijak bermain dengan istilah psikologi yang menyentuh hati.

Mereka menyebut tentang tindak balas trauma, penyembuhan kanak-kanak dalaman, mekanisme penyesuaian diri dan pelbagai frasa yang kedengaran saintifik, walhal semuanya hanya dibaca sepintas lalu tanpa pemahaman mendalam.

Pendekatan ini disebarkan secara agresif di media sosial dengan video yang kelihatan profesional, kapsyen yang emosional dan testimoni pengikut yang terkesan secara sementara, bukan kerana rawatan tetapi kerana naratif.

Apa yang lebih merisaukan, mereka bukan sekadar meniru gaya pakar psikologi. Mereka mula memperkenalkan ‘ilmu penyembuhan’ yang bercampur aduk antara unsur kepercayaan peribadi, keajaiban rohani dan ideologi menyesatkan yang tidak berasaskan sains.

Antaranya termasuklah hukum tarikan (yang meyakini hanya dengan ‘menarik energi positif’, trauma boleh hilang), pengaturcaraan neurolinguistik (NLP) yang sering dipopularkan secara melulu tanpa asas terapi sebenar serta numerologi iaitu bacaan keperibadian berdasarkan tarikh lahir, kononnya boleh merungkai punca luka batin seseorang.

Tidak kurang juga yang menggunakan teknik seperti tilikan nasib berdasarkan lukisan, pembacaan aura, gerak tubuh atau permainan kad spiritual.

Semua ini dibungkus cantik dalam label healing (penyembuhan) dan penemuan diri (self-discovery) sedangkan ia langsung tidak melalui sebarang kajian saintifik atau rujukan dari disiplin psikologi moden.

Inilah yang menjadikan ramai individu semakin tersesat dalam ilusi penyembuhan. Mereka rasa lega seketika tetapi tidak sedar sebenarnya sedang dibawa jauh dari pemulihan sebenar.

Harus diingat kesihatan mental bukan ruang untuk eksperimen kepercayaan. Kesihatan mental adalah bidang profesional yang memerlukan ilmu, latihan, bimbingan dan penyeliaan ketat.

Jiwa manusia bukan bahan tontonan atau bahan niaga. Satu kesilapan dalam menasihati individu yang sedang bergelut dengan trauma boleh membawa kesan besar. Ia termasuk luka emosi bertambah parah, krisis identiti yang semakin meruncing dan hilangnya kepercayaan terhadap bantuan profesional sah.

Namun hari ini, ‘healer’ (penyembuh) tanpa kelayakan lebih mudah dipercayai berbanding profesional kesihatan mental. Ini kerana mereka pandai menyusun naratif. Mereka kelihatan mesra, mudah diakses dan tidak ‘menakutkan’ seperti institusi rasmi.

Lebih ramai yang rela berkongsi rahsia jiwa dalam ruang komen TikTok, berbanding meluahkan dengan pakar terlatih. Ini kerana yang tidak bertauliah lebih lantang dan lebih licik mencuri perhatian, manakala yang benar-benar berilmu lebih berhati-hati kerana terikat pada etika dan amanah.

Sebagai masyarakat yang sedang membina celik akal dalam isu emosi dan mental, kita tidak boleh terus leka. Setiap individu yang menawarkan bimbingan emosi harus dinilai melalui kriteria kelayakan sebenar.

Mereka perlu mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang berkaitan, latihan profesional dan pengiktirafan daripada badan-badan profesional yang diiktiraf — bukan sekadar ‘testimoni’ atau pengalaman peribadi.

Jangan hanya melihat kepada gaya penyampaian yang menenangkan atau jumlah pengikut yang mengagumkan. Perkara sebegini tidak pernah menjadi ukuran kompetensi.

Jangan sesekali menganggap niat baik sahaja sudah mencukupi. Niat tanpa ilmu boleh merosakkan. Lebih parah, dapat memberi ruang kepada amalan sesat dan ilmu tidak sah untuk berselindung di sebalik istilah yang kedengaran positif.
Hari ini, ramai yang terpedaya bukan kerana mereka tidak tahu tetapi terlalu terdesak untuk sembuh.

Dalam keinginan untuk keluar dari kegelapan, mereka ditarik ke arah cahaya palsu yang kelihatan suci tetapi sebenarnya membakar dari dalam.

Jika anda sedang mencari jalan untuk sembuh, carilah jalan yang benar. Carilah mereka yang dilatih, yang diawasi dan yang beretika. Carilah bantuan daripada ahli psikologi klinikal, kaunselor berdaftar atau pakar kesihatan mental yang berpengalaman.

Jangan biarkan algoritma media sosial menjadi penentu arah hidup anda. Jangan serah luka anda kepada yang hanya tahu menyusun kata tetapi tidak tahu mengubati.

Kerana bukan semua yang menyebut tentang penyembuhan itu benar-benar menyembuhkan. Ada yang hanya melukis ilusi, memetik istilah saintifik, lalu meninggalkan anda dengan luka yang lebih dalam daripada sebelumnya.-UTUSAN

NURFILZAH EMILY MOHAMAD KHAIRUDDIN
Kaunselor berdaftar dengan Lembaga
Kaunselor Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN