DUNIA hari ini sedang menyaksikan fenomena yang membimbangkan keberanian yang menyesatkan dalam menangani pelbagai isu sosial, politik, agama dan budaya.
Mereka yang bersalah, contohnya menyebarkan kemungkaran, menyalahgunakan kuasa, memanipulasi agama dan merosakkan nilai masyarakat, sering kali tampil paling berani. Mereka berani bercakap, bertindak, malah memimpin.
Sedangkan, mereka yang benar, orang baik, manusia yang berpegang pada prinsip dan nilai agama, lebih bersikap berdiam diri, berundur, hingga ada yang menyorokkan kebenaran atas alasan menjaga keharmonian.
Realitinya, kumpulan yang salah, menjadi berani kerana mereka tahu orang yang benar takut kehilangan kedudukan, takut dikritik dan ‘cintakan zon selesa’.
Ketika situasi yang lain, mereka tidak peduli terhadap dosa. Dalam Surah Al-Kahfi, Allah mengisahkan bagaimana mereka yang sombong dan menentang kebenaran.
Tidak terkecuali, mereka bijak memanipulasi kefahaman agama. Sebahagian golongan sesat memetik ayat-ayat al-Quran untuk menyokong kebatilan mereka.
Ada yang menyangka orang baik diam kerana lemah. Tetapi sering kali, mereka diam kerana atas beberapa hujah yang sering digunapakai antaranya, tidak mahu berbalah.
Namun, dalam konteks menegakkan kebenaran, diam boleh menjadi pengkhianatan terhadap amanah ilmu dan agama.
Sedarkah kita, ketika kebaikan tidak disokong, maka kebenaran menjadi sunyi. Dan kesunyian itu memberi laluan kepada kebatilan untuk mendominasi.
Menormalisasikan kejahatan bermaksud, lingkungan masyarakat yang tidak membetulkan kesilapan akan menyaksikan kejahatan menjadi budaya dan normalisasi.
Jadi, seorang Muslim seharusnya bertindak dengan menuntut ilmu dengan kefahaman, menjadi penyokong kepada kebenaran, menasihati dan berdakwah dengan hikmah.
Banyak program hari ini ‘bertopengkan agama’ tetapi sebenarnya memesongkan:
– Kursus motivasi berunsur syirik (contoh: scan aura, numerologi, tilik).
– Majlis zikir bercampur dengan maksiat
– Seminar Islamik yang diselubungi ajaran sesat dan dakyah batil.
– Konten media sosial ‘Islamik’ tetapi penuh unsur fitnah dan lucah.
Setiap anggota masyarakat perlu celik ilmu untuk membezakan antara ajaran benar dan palsu.
Kita mesti bangkit menjadi penegak ilmu yang benar, pengetahuan bersama kefahaman. Menjadi penyokong kebenaran. Menjadi pembimbing masyarakat ke arah kebaikan, bukan sekadar penonton.
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran: 104)
Justeru, setiap lapisan masyarakat seharusnya:
– Perluaskan hadir ke majlis ilmu: Fokus kepada ilmu dan kefahaman yang benar
– Wujudkan Komuniti Penegak Amar Makruf Nahi Mungkar di pelbagai pringkat.
– Perkasakan golongan agamawan yang berani menegur.
– Didik masyarakat ambil tahu dan peduli tentang ajaran sesat moden.
– Jadikan media sebagai medan menyebar kebaikan, bukan kebencian.-UTUSAN
ATRIZA UMAR
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat (JPM) IKRAM










