Tubuh Institut Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi

Tubuh Institut Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi

TUN Abdullah Ahmad Badawi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN bagi menubuhkan Institut Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi seharusnya dirai.

Ruang tersebut seharusnya digunakan secara bijaksana bagi membincangkan mengenai keperluan mendokumentasi, mengkaji dan menilai warisan kepimpinan Abdullah dalam sejarah politik tanah air.

Institut ini harus diwujudkan atas objektiviti ilmiah dan keterbukaan kepada analisis kritikal pemikiran yang ditinggalkan oleh negarawan tersebut.

Institut seperti ini juga berpotensi menjadi sumber rujukan yang kaya dengan pelbagai bahan inklusif kepada penyelidik, pengkaji sejarah dan ahli akademik. Penubuhan institut ini perlulah bersifat telus, bersandarkan fakta, dan membuka ruang kepada kepelbagaian perspektif, termasuk sudut pandangan yang kritikal terhadap era kepimpinan Abdullah atau dikenali sebagai Pak Lah.

Institut ini kelak berpotensi dalam penganjuran seminar, wacana terbuka dan penerbitan ilmiah berimpak tinggi yang dapat memperkayakan wacana sejarah secara lebih menyeluruh serta kritikal.

Mengimbas kembali sejarah penubuhan Institut Pemikiran Tun Mahathir Mohamad (IPDM), institut ini ditubuhkan bagi menghargai jasa dan pengorbanan negarawan, Dr. Mahathir dalam menerajui kepimpinan negara.

Institut ini masih berdiri dan relevan menjadi pusat rujukan utama bagi kajian-kajian yang bersifat kepimpinan tokoh-tokoh pemimpin dalam negara.

Justeru, penubuhan Institut Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi hanya akan memberi manfaat kepada masyarakat sekiranya dibina atas semangat keilmuan, keterbukaan dan integriti akademik yang tinggi.

Cadangan ini wajar disambut dengan kritikal tetapi konstruktif. Sejarah bukan hanya untuk diingati, tetapi juga untuk difahami dan dijadikan pedoman. – UTUSAN

MUHAMMAD NAJMUDIN NADZRI
Universiti Utara Malaysia, (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×