MERUJUK artikel bertajuk Atasi Segera Kesesakan di Tol Temerloh. pihak kami mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan dan memberi maklum balas serta penjelasan lanjut berhubung isu yang dinyatakan.
Berdasarkan pemantauan dan laporan Jurutera Daerah Temerloh dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kesesakan lalu lintas di laluan Jalan Persekutuan FT98, Jalan Temerloh – Jerantut, khususnya di Seksyen 4.80 hanya berlaku semasa musim perayaan, musim cuti sekolah dan cuti umum yang panjang terutama di persimpangan lampu trafik memasuki Plaza Tol Temerloh. Kesesakan ini adalah kesan langsung daripada peningkatan mendadak jumlah kenderaan di jalan raya dan lebuh raya pada waktu-waktu berkenaan.
Oleh kerana laluan ini mempunyai dua lorong dua hala, sedikit kesesakan disebabkan kenderaan yang hendak membelok ke kanan bagi memasuki Plaza Tol Temerloh akan turut mengganggu kesesakan di FT98 bagi kenderaan yang hendak ke Jerantut dari Temerloh.
Hampir semua lebuh raya dan jalan raya direkabentuk dan dibina berdasarkan unjuran kapasiti laluan kenderaan waktu sederhana dan bukan waktu puncak mengambilkira pelaburan, pendapatan dan kos pengoperasian dan penyelenggaraan sesebuah jalan raya dan lebuh raya. Begitu juga dengan pembinaan bangunan gunasama orang ramai seperti masjid dan sebagainya.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengarahkan Syarikat Konsesi Lebuhraya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah terlibat untuk melaksanakan beberapa langkah mitigasi bagi menyuraikan kesesakan secepat mungkin.
Antara langkah mitigasi yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:
• Menambah lorong tol manual (lorong tambahan)
• Menggunakan handheld reader di lorong manual
• Meletakkan jurutol dan penyelia berpengalaman untuk menangani transaksi sewaktu kesesakan
• Menyediakan kawalan trafik dengan menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta menambah bilangan anggota pengawal keselamatan (musim perayaan)
• Menambah penggunaan handheld reader (manual on foot – jika perlu);
• Lampu isyarat di lokasi tersebut telah ditukar kepada mod berkelip;
• Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dilaksanakan bagi melancarkan aliran trafik.
• Data terkini diperoleh dari Syarikat Konsesi Lebuhraya adalah seperti berikut:
• Sabtu (31/5/2025) – Buka manual (entry) pukul 3.43 petang dan tutup pada pukul 3.52 petang dengan tempoh selama 9 minit. 15 trafik di lorong tambahan.
• Ahad (1/6/2025) – Buka manual (entry) pukul 3.17 petang dan tutup 3.49 petang dengan tempoh selama 32 minit. 88 trafik di lorong tambahan.-UTUSAN
KETUA KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Kerja Raya










