SEBANYAK empat projek membina lintasan pejalan kaki searas lampu isyarat telah siap dibina di empat lokasi yang berbeza di Pontian, Johor demi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kes kemalangan jalan raya.
Empat lokasi lintasan pejalan kaki tersebut ialah dua di FT005 Jalan Johor Bahru- Melaka dan dua lagi di FT096 Jalan Benut-Simpang Renggam. Dua di FT005 ialah di Seksyen 67.50 berhampiran dengan Sekolah Lebai Mohd Ya’kob, Ayer Baloi dan di Seksyen 79.20 berhampiran Masjid Jamek, Benut.
Manakala dua lintasan pejalan kaki di FT096 ialah di Seksyen 0.2 berhampiran Sekolah Kebangsaan Sri Benut dan di Seksyen 9.60 berhampiran Sekolah Kebangsaan Parit Markom.
Empat-empat lokasi tersebut adalah tempat tumpuan orang ramai untuk melintas jalan terutama anak-anak sekolah yang hendak pergi ke dan pulang dari sekolah, di samping tempat tumpuan orang ramai berulang alik mengimarahkan Masjid Jamek Benut.
Tempoh tanggungan kecacatan selama enam bulan dari 30 Oktober 2024 bagi keempat-empat projek ini telah berlalu pada 30 April 2025. Walau bagaimanapun, Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) Pontian terus memantau semua lampu isyarat yang dipasang agar sentiasa berfungsi dengan baik dan teratur.
KKR berharap rakyat memanfaatkan projek rakyat yang telah disiapkan. Untuk itu, KKR mencadangkan supaya rakyat memuat turun aplikasi MYJalan dan menggunakannya untuk membuat aduan jalan rosak dan lampu isyarat tidak berfungsi agar cepat diambil tindakan.
KKR melalui JKR Malaysia akan terus membudayakan pengurusan bersepadu bagi semua projek-projek rakyat setiap masa serta terus memantau proses-proses pasca penyerahan projek siap supaya tiada perkara yang tertangguh dan dilaksanakan mengikut peraturan. – UTUSAN
KEMENTERIAN KERJA RAYA










