KESEDARAN mengenai hak kanak-kanak dan keselamatan dari penderaan adalah aspek penting dalam memastikan kesejahteraan dan perlindungan generasi muda. Hak kanak-kanak termasuk hak untuk hidup dalam suasana yang selamat, mendapat pendidikan dan bebas daripada segala bentuk penderaan fizikal, mental, dan seksual. Penderaan kanak-kanak merupakan pelanggaran serius terhadap hak mereka dan perlu ditangani dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas serta kesedaran masyarakat yang tinggi.
Kelab Prime Mover UiTM dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif melalui Kempen Mula Kesedaran Dari Awal (SAFE) Untuk Kanak-Kanak di sekolah-sekolah rendah yang terpilih. Kempen ini memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah rendah tentang bahayanya penderaan fizikal, mental, dan seksual serta cara untuk melindungi diri mereka. Selain memberi pendedahan kepada murid, kempen ini juga memperkukuh pemahaman warga pendidik dan komuniti tentang kepentingan menjaga hak serta keselamatan kanak-kanak.
Kempen kali ini telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Sikamat, Seremban, dengan penyertaan seramai 222 murid yang berumur sekitar tujuh dan lapan tahun. Seramai 18 fasilitator daripada UiTM Kampus Seremban terlibat dalam mendidik serta memberi pendedahan secara interaktif kepada murid-murid mengenai hak dan keselamatan diri kanak-kanak.
Menariknya, kempen ini dijalankan secara bersemuka yang membolehkan interaksi secara langsung dan lebih berkesan antara fasilitator dan murid. Aktiviti seperti lakonan situasi dan sesi “Berani Bersuara” memberi peluang kepada murid untuk meluahkan perasaan serta belajar mengenal pasti tanda-tanda penderaan secara kreatif dan menyeronokkan.
Salah satu keunikan kempen ini ialah sesi “Saya Berani, Saya Selamat!” yang memberi peluang kepada murid untuk melakonkan situasi sebenar yang mungkin mereka hadapi, seperti diganggu orang tidak dikenali, dibuli rakan sebaya atau mengalami sentuhan tidak selamat. Melalui lakonan ini, murid belajar untuk mengatakan “tidak”, menjauhkan diri dan memberitahu guru atau orang dewasa yang boleh dipercayai.
Pengarah Projek Kempen SAFE, Nurfazreen Mohd Khairi berkata pendidikan keselamatan diri perlu diterapkan sejak awal kerana kanak-kanak adalah golongan paling terdedah kepada risiko penderaan. Melalui kempen ini, kami berharap murid-murid dapat memahami hak mereka dan belajar cara melindungi diri dalam situasi berbahaya.
Pendidikan awal sebegini merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Lebih penting lagi, kempen ini menekankan bahawa perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama, bukan sahaja ibu bapa atau guru, tetapi seluruh komuniti sekolah dan masyarakat. Kehadiran fasilitator muda yang dekat dengan jiwa kanak-kanak turut membantu menyampaikan mesej dengan lebih berkesan dan mudah dihayati oleh murid.
Inisiatif ini penting untuk membentuk sikap dan nilai yang menghormati hak kanak-kanak. Usaha ini juga selari dengan dasar perlindungan kanak-kanak negara yang menekankan kepentingan terbaik kanak-kanak serta perlindungan mereka daripada segala bentuk penderaan.
Kempen dan inisiatif oleh Kelab Prime Mover UiTM memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap hak serta keselamatan kanak-kanak, sekaligus membantu mengurangkan kes penderaan dan memastikan kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran yang sihat dan selamat. – UTUSAN
NUR AIMI LIYANA AZMI
UiTM Cawangan Negeri Sembilan
Kampus Seremban










