MENURUT statistik oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), terdapat 25,047 hektar tanah wakaf di seluruh negara pada 2024 dan jumlah ini meningkat berbanding 20,992 hektar pada 2023.
Hal ini menunjukkan amalan wakaf tanah meningkat dan ini merupakan perkara positif dalam industri wakaf di negara ini.
Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak tanah wakaf yang tidak didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Ia berpunca daripada amalan melaksanakan wakaf tanpa penyediaan apa-apa dokumen ‘hitam putih’ terutamanya oleh generasi terdahulu.
Terdapat juga pewakaf yang menyediakan dokumen wakaf tetapi tidak didaftarkan kepada MAIN. Hal ini berpotensi menimbulkan banyak isu pada masa hadapan termasuklah dalam pemilikan, tuntutan dan penyalahgunaan tanah wakaf.
Undang-undang memperuntukkan tanah wakaf mesti didaftarkan dengan pihak MAIN bagi membolehkan badan ini bertindak sebagai pemegang amanah tunggal.
Tanah wakaf yang tidak berdaftar berpotensi menimbulkan isu pemilikan kerana sistem pemilikan tanah berasaskan sistem Torrens (pendaftaran hak milik), iaitu pemilikan tanah hanya sah apabila ia didaftarkan di bawah nama individu atau pihak yang berkenaan.
Dalam konteks wakaf, MAIN akan didaftarkan sebagai pemilik tanah wakaf. Hal ini membolehkan MAIN menguruskan dan melaksanakan apa jua perancangan pembangunan serta mengusahakan tanah tersebut sebagai pemegang amanah.
Sekiranya tanah wakaf tidak didaftarkan kepada MAIN, maka tanah tersebut kekal di atas nama pemilik asal atau pewakaf. Natijahnya, tanah tersebut berkemungkinan terdedah kepada tuntutan oleh ahli waris apabila pemilik/pewakaf meninggal dunia sebagai harta pusaka.
Akhirnya, tanah yang pada asalnya dihasratkan dan diniatkan untuk tujuan wakaf yang memberikan manfaat kepada orang ramai, menjadi milik waris-waris atau dijual dan dibahagikan sesama mereka.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketiadaan dokumen atau saksi yang boleh mengesahkan kewujudan wakaf tersebut.
Pembuktian kewujudan wakaf juga akan menjadi lebih sukar sekiranya tanah tersebut tidak diusahakan atau dimanfaatkan seperti untuk pembinaan masjid, sekolah atau tujuan lain.
Selain itu, tanah wakaf tidak berdaftar dengan MAIN juga terdedah kepada penyelewengan dan pindah milik secara tidak sah oleh pelbagai pihak, termasuk oleh waris-waris pewakaf sendiri.
Tidak kurang juga kes yang dilaporkan berkenaan pencerobohan ke atas tanah-tanah wakaf.
Status tanah wakaf yang tidak berdaftar mengakibatkan kesukaran kepada pihak MAIN untuk mengawal selia, menguatkuasa serta mengambil tindakan undang-undang ke atas penceroboh kerana diluar cakupan pemilikan atau kepentingan agensi ini sebagai pemegang amanah.-UTUSAN
MUHAMMAD NUR AKMAL ADIB ABDUL SAMAD
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)










