KEMUNCULAN pola baharu dalam kalangan belia berpendidikan tinggi yang cenderung menceburi pekerjaan berkemahiran rendah, khususnya dalam sektor gig, menimbulkan kebimbangan.
Pekerjaan seperti penghantar makanan dan pemandu e-hailing menjadi pilihan utama kerana menawarkan pendapatan segera dan fleksibiliti masa.
Meskipun bersifat pragmatik dalam memenuhi keperluan kewangan jangka pendek, kecenderungan ini berpotensi menghakis prospek kerjaya jangka panjang dan melemahkan pembangunan modal insan negara.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (2023) menunjukkan hanya 27.1 peratus daripada tenaga kerja negara tergolong dalam kategori berkemahiran tinggi, manakala selebihnya mengisi sektor pekerjaan berkemahiran sederhana dan rendah.
Jurang struktur ini membuktikan wujudnya ketidakpadanan serius antara kelayakan akademik dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan. Keadaan ini mencerminkan ketidakcekapan sistem perancangan guna tenaga dan memberi kesan terhadap keberkesanan dasar pembangunan modal insan negara.
Antara faktor utama yang mendorong fenomena ini termasuk tekanan ekonomi pasca pandemik, peningkatan kos sara hidup, beban hutang pendidikan dan kesukaran memperoleh pekerjaan tetap yang setara dengan kelayakan.
Selain itu, dominasi pekerjaan kontrak tanpa perlindungan sosial turut menyebabkan individu belia terjerumus ke sektor gig yang tidak berstruktur. Tambahan pula, pekerjaan dalam sektor ini lazimnya tidak menyediakan laluan pembangunan kerjaya yang kukuh, selain gagal menyumbang secara bermakna kepada pembinaan kompetensi profesional atau mobiliti sosial.
Jika trend ini berterusan tanpa intervensi yang berkesan, negara bakal menyaksikan pembaziran modal insan secara senyap dan membimbangkan. Malah ia mampu melumpuhkan daya saing golongan belia dalam jangka masa panjang.
Dalam konteks pembangunan belia, institusi pendidikan tinggi seharusnya menjadi pemangkin kepada mobiliti sosial, peningkatan taraf hidup dan laluan kerjaya yang mampan.
Oleh itu, inisiatif intervensi yang lebih strategik, sistematik dan inklusif perlu digerakkan. Ini merangkumi usaha bersepadu antara kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan bagi memastikan pemadanan kemahiran yang lebih dinamik.
Pada masa sama, kurikulum pengajian perlu ditransformasi agar selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan ekonomi digital, khususnya dalam bidang literasi teknologi, data analitik, keusahawanan sosial dan teknologi hijau.
Inisiatif pembelajaran sepanjang hayat yang merangkumi pelaksanaan mikro-kelayakan, pensijilan profesional dan pengiktirafan pembelajaran terdahulu wajar diperluas secara inklusif, termasuk kepada golongan belia luar bandar serta berpendapatan rendah. Langkah ini dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan selain memastikan mereka sentiasa relevan dalam pasaran kerja yang semakin kompleks.
Oleh itu, penting untuk menanam kesedaran mengenai nilai perancangan kerjaya jangka panjang serta memperkukuh asas kompetensi seperti etika kerja, disiplin, pengurusan masa, kebolehan menyelesaikan masalah dan kemahiran kendiri dalam sistem pendidikan.-UTUSAN
Dr. Nor Azrul Mohd Zin
Pensyarah Kanan
Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










