SEIRING dengan perkembangan teknologi dan keperluan ekonomi semasa, penerokaan hutan bagi tujuan pembangunan, pembalakan, perladangan, perlombongan dan sebagainya tidak dapat dielakkan dan semakin berleluasa sehingga mengabaikan aspek kelestarian biodiversiti. Kawasan hutan simpan dan koridor hidupan liar semakin terpecah dan berkurangan.
Kajian pada 2016 mendapati kawasan habitat gajah berkurangan sebanyak 68 peratus akibat penerokaan tanah untuk pertanian, perladangan serta pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan penempatan baharu. Dengan kata lain, kawasan hutan yang menjadi tempat tinggal haiwan ini semakin mengecil.
Media sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya lima negeri kini berdepan masalah gangguan gajah dan harimau, dipercayai berpunca daripada kemusnahan habitat semula jadi hidupan liar. Negeri-negeri terbabit iaitu Kelantan, Perak, Pahang, Terengganu dan Johor mengalami gangguan haiwan tersebut yang mengakibatkan nilai kerugian dialami penduduk mencecah puluhan juta.
Hal ini turut menggambarkan negara menghadapi cabaran besar menangani konflik antara manusia dan hidupan liar. Selain itu, situasi ini memberi persepsi jelas yang langkah perlindungan terhadap haiwan liar ketika ini masih belum mencukupi.
Tidak dinafikan Malaysia telah mengambil beberapa langkah drastik bagi menangani isu hidupan liar ini. Beberapa inisiatif diambil termasuk pembinaan pagar elektrik iaitu Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG), pemasangan papan tanda LED dan lampu jalan di lokasi berisiko tinggi.
Langkah-langkah pemuliharaan dari segi polisi, undang-undang, tindakan pemantauan serta pendidikan dan kesedaran awam juga telah diambil namun dengan statistik jumlah kematian yang semakin bertambah saban tahun membuktikan usaha tersebut masih belum mencapai impak diharapkan.
Penubuhan pasukan rangers oleh kerajaan Terengganu baru-baru ini boleh dicontohi kerana pasukan yang dianggotai pasukan keselamatan berpengalaman daripada pelbagai agensi penguatkuasaan itu dilaporkan berjaya mengatasi masalah pencerobohan gajah liar di beberapa kampung di daerah Kuala Berang.
Sementara itu, cadangan pembinaan Pusat Santuari Gajah Perak di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada 2020 perlu dipercepatkan pelaksanaannya bagi mengimbangi konflik antara gajah dan manusia. Selain itu, cadangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mahu membangunkan bank makanan di 18 stesen yang dikenal pasti sekitar Jeli bagi menangani ancaman gajah harus diberi keutamaan sewajarnya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri terbabit wajar menangguhkan segera aktiviti pembalakan dan pembukaan hutan di kawasan habitat penting gajah serta hidupan liar lainnya. Penguatkuasaan zon penampan dan koridor hidupan liar yang berfungsi sebagai laluan selamat haiwan berkenaan perlu dilakukan segera. Kerjasama erat di antara kerajaan negeri dan pusat juga harus diperkukuh kerana isu ini melibatkan penyelesaian jangka panjang dan saling berkait.
Komitmen bersama semua pihak termasuk pemilik ladang, pelaksana projek, komuniti setempat dan pengguna jalan raya diperlukan bagi menangani isu ini. Harus diakui hidupan liar memainkan peranan penting dalam aspek keseimbangan ekologi hutan bagi memastikan kelangsungan hidup pelbagai spesies, termasuk manusia.
Justeru itu, dengan lambakan projek pembangunan yang telah dan sedang berjalan Malaysia sebenarnya hanya perlu menguruskan pembangunan dan bukan lagi sibuk membuka kawasan pembangunan baharu yang boleh mengancam dan memusnahkan habitat hidupan liar.-UTUSAN
MOHD. SALLEH OSMAN
Banting, Selangor










