Jangan salahkan brek tetapi sistem yang rapuh

Jangan salahkan brek tetapi sistem yang rapuh

KEMALANGAN ngeri sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian pengangkutan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali negara digemparkan dengan kemalangan ngeri membabitkan bas atau lori, jawapan yang muncul hampir sama — brek rosak, pemandu hilang kawalan, jalan licin atau kenderaan terbabas.

Ia seakan skrip rasmi yang diulang saban tahun. Namun, yang menjadi mangsa adalah nyawa yang tidak berdosa iaitu penumpang atau pengguna lebuh raya lain.

Menyedihkan apabila alasan yang diberikan tidak mencerminkan sebarang usaha sistematik untuk mencegah tragedi serupa daripada terus berlaku.

Malaysia tidak kekurangan dari segi undang-undang atau peraturan cuma pelaksanaannya perlu telus, ada pemantauan berkesan dan tanggungjawab sosial daripada syarikat pengangkutan yang mengendalikan kenderaan berat.

Kemalangan ngeri sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian pengangkutan, daripada pemilik syarikat, pemandu, juruteknik, hinggalah ke agensi penguatkuasa.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun-tahun kebelakangan ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara mencatatkan kadar kemalangan jalan raya yang tinggi dengan lebih 20 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.

Angka ini jauh berbeza berbanding Jepun, Sweden atau United Kingdom (UK) hanya mencatat sekitar dua hingga empat kematian bagi jumlah penduduk yang sama.

Di negara-negara tersebut, setiap bas dan lori komersial mesti menjalani pemeriksaan teknikal secara ketat dan berkala. Bukan sahaja dari segi enjin atau brek, malah semua aspek termasuk sistem lampu kecemasan, sistem pengesanan global (GPS), pemantauan getaran tayar dan suhu enjin direkodkan.

Pemeriksaan ini dilakukan pihak ketiga yang bebas dan tidak boleh ‘dipercepatkan’ dengan bayaran tambahan. Sebarang keraguan pada laporan pemeriksaan akan menyebabkan kenderaan ditahan serta-merta dan pemilik dikenakan penalti tinggi.

Sebaliknya di Malaysia, kita masih berhadapan dengan kelemahan serius dalam penguatkuasaan teknikal. Banyak lori dan bas mengalami kerosakan, termasuk sistem brek tetapi terus beroperasi kerana mempunyai ‘sijil lulus pemeriksaan’. Amalan seperti ini membuka ruang budaya rasuah dan kelulusan palsu, sekali gus meletakkan nyawa pengguna awam dalam risiko.

Terdapat juga laporan menunjukkan sesetengah pemandu bas ekspres dan lori memandu dalam keadaan keletihan melampau atau lebih buruk, di bawah pengaruh dadah. Selepas kemalangan, barulah masyarakat tahu pemandu terbabit pernah mempunyai rekod penyalahgunaan dadah atau gagal ujian air kencing, namun tetap dibenarkan bertugas.

Syarikat pengangkutan tidak boleh lagi lepas tangan. Mereka wajib memastikan setiap pemandu melalui saringan kesihatan, mental dan ujian air kencing secara berkala.

Ujian ini bukan bertujuan menghukum tetapi sebagai langkah pencegahan terhadap tragedi.

Satu lagi faktor yang sering diabaikan ialah banyak laluan yang digunakan kenderaan berat tidak dinaik taraf mengikut standard semasa.

Ada jalan sempit tanpa garisan pemisah, tiada penghadang di kawasan cerun dan lampu jalan yang malap atau tidak berfungsi. Dalam keadaan ini, risiko kemalangan meningkat berkali ganda terutama pada waktu malam atau musim hujan.

Justeru, kementerian yang bertanggungjawab dan kerajaan negeri perlu memberi perhatian serius kepada aspek penyelenggaraan jalan raya. Sistem pemantauan jalan raya melalui kamera had laju, pengesan beban berlebihan dan papan amaran pintar perlu diperluas. Jangan biarkan nyawa melayang hanya kerana satu lubang jalan yang dibiarkan bertahun-tahun.

Setiap syarikat bas dan lori perlu melihat keselamatan sebagai pelaburan, bukan kos. Menukar brek, memasang sistem pemantauan, membayar untuk ujian air kencing pemandu atau menaik taraf sistem GPS bukanlah beban jika dibandingkan dengan risiko disaman atau kehilangan nyawa yang tidak ternilai.

Reputasi syarikat juga boleh musnah dalam sekelip mata jika dikaitkan dengan kemalangan ngeri.

Pada masa sama, penguatkuasa perlu menjalankan tugas dengan amanah dan tanpa kompromi. Pegawai yang meluluskan kenderaan tidak selamat atau menerima sogokan wajib disiasat, digantung tugas dan didakwa jika bersalah.

Integriti sistem bermula daripada penguatkuasaan. Jika pintu pengawasan sudah terbuka kepada sogokan, maka segala peraturan yang digubal hanya tinggal hiasan.

Rakyat Malaysia tidak boleh lagi menerima jawapan mudah seperti brek gagal berfungsi atau pemandu hilang kawalan. Kita tidak mahu mengira mayat lagi. Kita mahu pencegahan yang konkrit. Kita mahu jalan raya yang selamat. Dan kita mahu semua pihak yang terlibat dalam industri pengangkutan menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.

Tragedi yang sudah berlaku tidak boleh diundur. Namun, kita masih punya peluang untuk mencegah tragedi seterusnya. Ia bermula dengan kejujuran, disusuli dengan sistem yang telus dan didorong oleh rasa kemanusiaan yang tidak mahu lagi melihat nyawa menjadi angka statistik.
Jika negara maju boleh melakukannya, mengapa tidak kita?-UTUSAN

AZLIZA AZIZUL
Batu Pahat,
Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×