PADA 23 Ogos 2024, saya menulis sebuah artikel yang mengintai persamaan antara Thaksin Shinawatra-Paetongtarn Shinawatra dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim-Nurul Izzah Anwar dari sudut struktur kepimpinan dan cara Thaksin dan Anwar mengekalkan dominasi kekuasaan parti masing-masing.
Secara kebetulannya, Nurul Izzah berjaya menduduki kerusi nombor dua PKR, dalam pemilihan parti, baru-baru ini.
Namun yang lebih menarik perhatian adalah ragam pemilihan parti itu yang akrab dan identikal sifatnya dengan pemilihan UMNO pada 1993. Ketika itu, Anwar merebut kerusi Timbalan Presiden UMNO daripada Tun Ghafar Baba.
Jika Anwar diangkat sebagai pemimpin muda harapan UMNO ketika kempen pemilihan, Nurul Izzah pula ditonjolkan sebagai puteri reformasi penyambung legasi. Malah tema sama digunakan Anwar dan Izzah berkait kualiti kepimpinan segar demi kelangsungan parti masa hadapan.
Jentera kempen mereka pula digerakkan. Adam Adli Abdul Halim dan Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan Nurul Izzah sebagai masa hadapan dan penyambung obor perjuangan PKR. Kempen mereka juga mendapat sokongan penuh Datuk Fahmi Fadzil.
Sebagai penyandang, sama ada Ghafar mahupun Datuk Seri Rafizi Ramli tidak terlepas berdepan tekanan daripada Anwar dan Nurul Izzah yang setelah mendapat dua pertiga pencalonan. Kedua-dua mereka meletak jawatan dalam Kabinet selepas tewas dalam pemilihan parti.
32 tahun selepas Anwar menewaskan Ghafar, namun corak kempen yang sama ini diterjemahkan pula kepada kejayaan Nurul Izzah menumbangkan Rafizi. Saya melihat ini sebagai itifak baharu politik PKR. Selepas ini, Nurul Izzah bakal dipersiapkan sebagai calon presiden menggantikan bapanya, sekali gus memungkinkan meletakkan Nurul Izzah sebagai calon perdana menteri wanita pertama negara—idea yang bakal dijual kepada pengundi golongan muda pada Pilihan raya Umum (PRU) seterusnya.
Rafizi pula dijangka muncul sebagai sosok paling popular berbanding Nurul Izzah di sebalik kekalahannya. Beliau dijangka tidak berdepan masalah mengekalkan kerusi di Pandan jika bertanding atas tiket bebas. Berkemungkinan juga ada tawar menawar untuk beliau kekal dalam parti dan anggota Kabinet, seterusnya mengharmonikan semula hubungan dalam PKR bagi menghadapi PRU16.-UTUSAN
AMIR AL FATEH
Penulis politik










