CADANGAN untuk mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas buah-buahan import telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia. Ramai yang bimbang harga barangan akan naik, terutamanya dalam suasana kos sara hidup yang semakin meningkat.
Namun, di sebalik kebimbangan ini, cadangan tersebut membuka ruang untuk kita berbincang tentang perkara yang lebih besar, bagaimana dasar cukai boleh membantu sektor makanan tempatan, meningkatkan daya saing petani, dan mendorong inovasi dalam pertanian.
Cukai ke atas buah import mungkin dilihat sebagai usaha untuk melindungi hasil tempatan daripada persaingan luar yang lebih murah. Namun, kerajaan juga perlu memastikan buah tempatan mudah didapati, berkualiti tinggi dan mampu milik agar pengguna tidak terbeban.
Apa yang ramai tidak sedar ialah bahawa dasar cukai bukan sahaja mempengaruhi harga, tetapi juga membentuk bagaimana makanan kita dihasilkan, diproses dan sampai ke meja makan. Malah, dasar cukai boleh mendorong penggunaan teknologi baharu, meningkatkan hasil pertanian, dan menggalakkan amalan pertanian yang lebih lestari.
Sebagai contoh, jika kerajaan memberi pelepasan cukai atau insentif kepada petani yang melabur dalam peralatan moden, sistem pengairan cekap atau teknologi digital, mereka lebih cenderung untuk berubah kepada kaedah moden. Ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah mampu menarik golongan muda untuk menceburi bidang pertanian.
Di beberapa negara lain, kerajaan turut memberi pelepasan cukai kepada syarikat permulaan (start-up) atau syarikat yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Malaysia juga boleh mempertimbangkan langkah ini, terutamanya untuk menggalakkan pertanian yang mesra alam.
Dari sudut kestabilan pendapatan, petani sering menghadapi turun naik hasil pendapatan akibat faktor cuaca atau harga pasaran. Di negara seperti Australia dan Kanada, sistem purata cukai diperkenalkan, yang membolehkan petani mengagihkan pendapatan mereka secara lebih seimbang dalam beberapa tahun.
Ini membantu mereka merancang kewangan dengan lebih baik dan mengurangkan beban cukai tahunan. Dalam aspek kelestarian alam sekitar, cukai juga boleh digunakan untuk memberi ganjaran kepada amalan mesra alam dan mengenakan cukai lebih tinggi terhadap aktiviti yang mencemarkan.
Contohnya, petani yang mengurangkan penggunaan baja kimia berlebihan boleh diberi insentif cukai, manakala penggunaan input yang mencemarkan boleh dikenakan kadar cukai lebih tinggi.
Apa yang penting, sistem cukai mestilah adil, telus dan tidak membebankan golongan berpendapatan rendah. Barang makanan asas seperti beras, minyak masak dan sayur-sayuran perlu kekal bebas cukai atau dikenakan kadar minimum. Perbahasan mengenai cukai buah-buahan ini memberi peluang kepada kita untuk menilai semula peranan sistem cukai dalam membina masa depan makanan negara. Jika dirancang dengan bijak, dasar cukai bukan sekadar alat pungutan hasil, tetapi juga pemacu utama untuk menjadikan sektor makanan kita lebih cekap, lestari dan inovatif. – UTUSAN
AHMAD NIZAM CHE KASIM
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis










