DUNIA semakin berkembang pesat seiring negara-negara maju dengan peralatan komunikasi yang semakin canggih. Pelbagai teknologi dihasilkan dari semasa ke semasa pada era ini.
Dalam kita membangun negara ke arah sesuatu kemajuan, kita perlu juga mengawasi kanak-kanak yang sedang membesar supaya dapat menggunakan gajet tersebut ke arah yang lebih baik. Kita sedia maklum, kanak-kanak merupakan antara pengguna tertinggi gajet pada masa kini.
Selain penggunaan panggilan, gajet ini digunakan bagi pembelajaran, permainan, Youtube dan sebagainya.
Tanpa pengawasan daripada ibu bapa, mereka akan menggunakan gajet sepuasnya tanpa memikirkan perkara-perkara lain.
Kesan daripada penggunaan gajet yang berlebihan boleh merosakkan diri kanak-kanak tersebut seperti malas untuk belajar, ibadah dan melakukan perkara atau aktiviti lain.
Ini kerana ketagihan gajet ini boleh membawa kepada tahap yang membimbangkan.
Pemantauan penggunaan gajet kanak-kanak perlu diberi perhatian oleh ibu bapa atau penjaga dengan menentukan had masa terhadap penggunaan sesebuah gajet.
Dengan penggunaan gajet di bawah kawalan ibu bapa, kanak-kanak dapat menggunakan gajet pada masa dan situasi yang sesuai. Gajet juga bukan sahaja alat permainan dan perhubungan, ia juga dapat membantu pembelajaran kanak-kanak di peringkat persekolahan.
Peraturan penggunaan seperti tetapan masa dan hari sangat membantu dalam mengawasi penggunaan ini.
Pendidikan pada masa kini memerlukan sistem teknologi yang canggih bagi mendapatkan maklumat.
Gajet memainkan peranan yang penting dalam mendapatkan ilmu dan sumber rujukan. Jadi sebaiknya, ia digunakan dengan sebaiknya agar kanak-kanak dapat dibentuk dengan nilai yang murni. – UTUSAN
MOHD FAZIL ISMAIL
Pejabat Pendidikan Daerah Raub










