Tingkat pengeluaran padi, guna benih padi sah

Tingkat pengeluaran padi, guna benih padi sah

PENGGUNAAN benih padi tidak sah akan mengancam pengeluaran hasil secara menyeluruh dan boleh menyebabkan kejatuhan hasil padi dan kekurangan bekalan beras negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM usaha memperkukuh keselamatan makanan negara serta meningkatkan hasil pengeluaran padi nasional, pembangunan benih padi hibrid merupakan antara pendekatan strategik yang dikenal pasti berpotensi besar untuk dilaksanakan secara meluas.

Namun, fenomena penggunaan benih padi varieti tidak berdaftar seperti hibrid China, hibrid Indonesia, padi 85 hari, padi Taiwan dan lain-lain yang kini kerap dijual dan seterusnya ditanam tanpa kawalan rasmi amat membimbangkan. Varieti tidak berdaftar ini tidak menjalani pengesahan dari aspek ketulenan genetik, ketahanan penyakit, atau kesesuaian iklim setempat. Ketiadaan maklumat saintifik ini boleh menyebabkan tanaman lebih mudah terdedah kepada serangan penyakit bawaan kulat, bakteria serta serangga perosak, terutamanya dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Bagaimanapun, Jabatan Pertanian mengingatkan bahawa penggunaan benih padi tidak sah atau dibawa masuk secara haram dari luar negara adalah dilarang sama sekali. Perbuatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) dan peraturan di bawahnya serta Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981. Selain itu, pengimportan benih padi bagi tujuan penyelidikan adalah dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) di mana ia tertakluk kepada kelulusan dan prosedur kuarantin tumbuhan bagi memastikan ian bebas dari perosak dan penyakit. Di bawah akta ini juga, benih padi yang dibawa masuk secara haram boleh dirampas dan sekiranya telah ditanam, pokok padi tersebut boleh dimusnahkan apabila didapati tidak mematuhi mana-mana peruntukan di dalam akta tersebut.

Risiko utama ialah, apabila varieti tidak sah ini tidak bebas penyakit, ia berpotensi menjadi sumber jangkitan yang merebak ke sawah-sawah berdekatan, seterusnya mengancam pengeluaran hasil secara menyeluruh. Ini boleh menyebabkan kejatuhan hasil padi dan kekurangan bekalan beras negara.

Jabatan Pertanian menegaskan bahawa sistem pengesahan benih padi sah di bawah Skim Pengesahan Benih Padi (SPBP) melibatkan proses kawalan yang ketat bermula daripada benih baka dan asas yang dikeluarkan oleh pembiak baka, benih padi daftar dan sah yang dikeluarkan oleh pengeluar benih padi sah sebelum diedarkan kepada pesawah. Proses di bawah skim ini dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian bagi memperakukan ketulenan genetik dan identiti varieti benih padi serta kualiti benih padi yang dikeluarkan oleh pengeluar benih padi yang sah dilantik.

Bagi memastikan pengeluaran benih padi hibrid dilaksanakan mengikut tatacara yang betul, Jabatan Pertanian telah menyediakan garis panduan bertajuk Standard Jabatan Pertanian Malaysia (SJPM – 2021) dan berdasarkan spesifikasi bagi pengeluaran benih padi hibrid. Dokumen boleh dirujuk di laman sesawang rasmi Jabatan Pertanian di www.doa.gov.my. Pihak Mardi juga telah menerbitkan Manual Teknologi Penanaman Padi Hibrid sebagai panduan lengkap kepada pesawah dalam menguruskan penanaman varieti padi hibrid tempatan.

Jabatan Pertanian menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong penggunaan benih padi sah dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan demi kemampanan industri padi negara dan keselamatan makanan negara. – UTUSAN

JABATAN PERTANIAN
KEMENTERIAN PERTANIAN
DAN KETERJAMINAN MAKANAN (KPKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN