TOURISM Malaysia menganjurkan sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan negeri Perak dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik ke arah menjayakan perencanaan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Perak menjadi negeri pertama di Zon Utara selepas inisiatif berkenaan mula digerakkan pada awal tahun ini di beberapa buah negeri seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Program berkenaan juga merupakan kesinambungan kepada pelancaran logo, lagu, video promosi dan maskot rasmi VM2026.
Selain menjadi medan perkongsian untuk membincangkan pelan strategik ke arah menjayakan VM2O26, terdapat juga beberapa siri pembentangan melibatkan Geran Galakan Melancong (GAMELAN), Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC) dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) oleh Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta sesi bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Jabatan Warisan Negara dan Islamic Tourism Centre (ITC).
Seiring dengan aspirasi VM2026 yang menyasarkan ketibaan pelawat berpendapatan tinggi selain mempromosikan kebudayaan serta kelestarian sektor pelancongan negara, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diperlukan bagi menjayakan kempen tersebut.
Pada tahun ini, Malaysia menyasarkan ketibaan pelawat asing seramai 45.0 juta dengan pulangan hasil pelancongan sebanyak RM270 bilion.
Setakat Februari 2025 seramai 6.7 juta ketibaan pelawat asing direkodkan melibatkan peningkatan sebanyak 31.3 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu dan kenaikan 14.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 (sebelum pandemik).
Perkembangan positif ini juga merupakan rentetan daripada rekod ketibaan 38 juta pelawat asing ke Malaysia pada 2024 yang menyaksikan lonjakan sebanyak 31.1 peratus berbanding 2023 dengan peningkatan sebanyak 8.3 peratus berbanding 2019.-UTUSAN
TOURISM MALAYSIA
Kuala Lumpur










