Tegas atasi penyeludupan hidupan liar

Tegas atasi penyeludupan hidupan liar

MASYARAKAT perlu bertindak sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan hidupan liar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI tempoh dari 2023 hingga April 2025, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka berkaitan penyeludupan hidupan liar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan spesies eksotik atau tempatan seperti kura-kura, ular, burung dan primat.

Bagi memperkukuh usaha ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)menggiatkan kerjasama strategik di bawah Rangkaian Penguatkuasaan Hidupan Liar Malaysia dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Pendekatan bersepadu ini membolehkan operasi pencegahan, siasatan dan pendakwaan dijalankan dengan lebih berkesan. Pada 18 April 2024, hasil mesyuarat penyelarasan bersama agensi penguatkuasaan berkaitan isu penyeludupan hidupan liar membolehkan jabatan dan agensi terlibat terus meningkatkan keberkesanan aktiviti kawalan dan operasi penguatkuasaan khususnya di lapangan terbang antarabangsa. Selain itu, satu Nota Jemaah Menteri akan disediakan oleh kementerian berhubung isu ini.

Dalam pada itu, kerjasama di peringkat antarabangsa turut diperkukuhkan rentas sempadan yang didalangi sindiket jenayah terancang.

Kementerian ingin mengingatkan mana-mana individu atau sindiket jika didapati terlibat dalam penyeludupan hidupan liar akan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), termasuk denda sehingga RM1 juta atau hukuman penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebagai sebuah negara mega biodiversiti, Malaysia kekal komited untuk melindungi khazanah alam semula jadi demi keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan generasi masa hadapan. Kami menyeru masyarakat untuk bertindak sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan hidupan liar melalui Hotline Jabatan PERHILITAN di talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM (NRES)
Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN