DALAM dunia semakin pesat berubah, pemilihan kursus pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan lagi sekadar berdasarkan minat semata-mata, tetapi perlu mengambil kira realiti pasaran kerja serta pencapaian akademik. Antara bidang pengajian yang semakin mendapat tempat dan relevan dalam era pasca-pandemik termasuk sains komputer dan kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan data dan analitik, perubatan dan sains kesihatan, teknologi hijau dan kejuruteraan alam sekitar, serta pendidikan dan psikologi. Bidang-bidang ini bukan sahaja menawarkan peluang kerjaya luas, malah penting dalam membina masyarakat dan negara yang berdaya saing.
Namun begitu, langkah paling penting selepas SPM adalah membuat pilihan bijak tentang laluan pengajian tepat dan bersesuaian. Keputusan SPM harus dijadikan panduan dalam menilai kekuatan dan potensi diri. Misalnya, pelajar cemerlang dalam mata pelajaran Sains dan Matematik mungkin lebih sesuai meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan atau teknologi, manakala mereka yang menunjukkan kecenderungan dalam bahasa dan sastera mungkin lebih menyerlah dalam bidang komunikasi, undang-undang atau pendidikan.
Sememangnya minat individu tetap penting, tetapi harus diseimbangkan dengan kebolehan sebenar dan keperluan pasaran. Adalah penting untuk mendapatkan bimbingan kaunselor, guru atau individu yang berpengalaman dalam bidang berkaitan sebelum membuat keputusan muktamad. Di sinilah peranan ibu bapa menjadi amat penting; bukan untuk menentukan keputusan bagi pihak anak, tetapi untuk menyokong dan membimbing mereka dalam membuat pilihan yang rasional dan matang.
Ramai ibu bapa masih terperangkap dalam mentaliti lama yang menganggap hanya beberapa bidang tertentu sahaja yang menjanjikan masa depan cerah. Realitinya, dunia hari ini sangat dinamik. Bidang seperti reka bentuk digital, animasi, keusahawanan sosial dan pembangunan perisian kini menjadi antara kerjaya yang bukan sahaja berpendapatan tinggi, malah memberi kepuasan peribadi dan impak kepada masyarakat.
Di samping itu, pelajar juga perlu didedahkan kepada pelbagai pilihan laluan pengajian tidak semestinya universiti awam sahaja. Pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) kini diiktiraf sebagai alternatif yang sama penting dan berpotensi tinggi, terutamanya dalam bidang seperti automotif, teknologi makanan, hospitaliti, dan robotik. Malah, ramai graduan TVET hari ini bergelar usahawan berjaya dengan pendapatan lumayan.
Namun begitu, bagi pelajar yang tidak mencapai keputusan cemerlang, hari ini bukanlah noktah kepada impian anda. Kegagalan bukan bererti anda tidak berpotensi, sebaliknya ia adalah peluang untuk menilai semula strategi dan hala tuju. Apa yang penting ialah sikap, semangat juang, dan keinginan untuk terus belajar dan memperbaiki diri.
Kepada ibu bapa, percayalah kepada keupayaan anak-anak. Bimbing mereka, dengar pandangan mereka, dan berikan mereka ruang untuk membina masa depan mereka sendiri. Kerana pada akhirnya, kejayaan sebenar adalah apabila anak-anak dapat berdiri megah atas pilihan yang mereka buat sendiri, dengan sokongan tanpa syarat daripada anda.
Marilah kita meraikan kejayaan para pelajar hari ini dengan penuh rasa syukur dan bangga. Keputusan SPM bukan penamat, tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar dan bermakna. Kepada para pelajar, teruskan langkah dengan yakin, rancang masa depan dengan bijak, dan pilih haluan yang benar-benar mencerminkan siapa anda serta impian anda. – UTUSAN
DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










