PERSATUAN Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM) kecewa dengan tindakan membekukan pengambilan pekerja asing bagi sektor pembersihan. Kami khuatir tindakan tersebut akan menyebabkan kebanjiran pekerja asing tanpa izin.
MACM tidak menggalakkan ahli dan bukan ahli menggunakan pekerja asing tanpa izin.
Namun hakikatnya, pembekuan pengambilan asing secara sah sejak 2024, menyebabkan kontraktor pembersihan terpaksa menggunakan pekerja asing tanpa izin bagi menampung keperluan tenaga pekerjanya.
Walaupun kerajaan akui bahawa sektor pembersihan termasuk dalam sektor pekerjaan 4D; kotor, sukar, bahaya dan merendahkan; dijauhi oleh pekerja tempatan, kerajaan masih mendesak untuk menggunakan pekerja tempatan. Sekiranya kami mempunyai pilihan, kami lebih suka menggunakan pekerja tempatan kerana tidak perlu menanggung kos levi dan lain-lain kos yang berkaitan.
Tidak dinafikan terdapat segelintir majikan yang menyalahgunakan kuota pekerja asing sektor pembersihan bagi membawa masuk pekerja asing untuk di‘jual’ kepada kontraktor yang gagal mendapatkan kuota. Persoalannya, bagaimana mereka boleh mendapatkan kuota sedangkan mereka perlu membuktikan adanya kontrak pembersihan yang sedang berkuatkuasa?
Adilkah kontraktor pembersihan dihukum kerana kegagalan kementerian menapis permohonan pekerja asing? Kegagalan yang bukan sahaja menyebabkan lambakan pekerja asing tanpa pekerjaan, tetapi turut membebankan kontraktor yang benar-benar memerlukan tenaga pekerja bagi menampung keperluan kontrak sedia ada.
Kita perlu menerima hakikat bahawa Malaysia sebagai sebuah negara membangun, bangunan-bangunan baharu sentiasa naik. Setiap bangunan perlu dibersihkan dan dipelihara kebersihannya. Setiap kerja pembersihan memerlukan pekerja.
Pada masa yang sama, pekerja asing yang telah luput tempoh sah permitnya perlu dihantar balik ke negara asalnya. Siapa yang akan menggantikan mereka, sedangkan pekerja tempatan malu untuk bekerja sebagai pencuci dan sanggup menganggur, jika bukan pekerja asing.
Menghukum kontraktor dengan menyekat pengambilan pekerja asing secara sah akan memburukkan lagi keadaan, dengan lambakan pekerja asing tanpa izin. Bangunan, kompleks, hospital, sekolah, pusat pengajian tinggi, kawasan awam dan pusat rekreasi perlu dibersihkan.
Siapa yang akan membersihkannya, sedangkan pekerja tempatan jijik untuk bekerja sebagai pencuci, jika bukan pekerja asing.
Kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa pekerja asing masih diperlukan untuk sektor pembersihan, melainkan ada yang sanggup menawarkan pekerja tempatan khususnya di pusat-pusat bandar. – UTUSAN
NORUDDIN IDRIS
Presiden Persatuan Pengurusan
Pembersihan Malaysia










