DALAM kehidupan ini, tidak semua perkara berlaku mengikut apa yang kita rancangkan. Ada kalanya, hanya dalam satu detik atau satu saat, hidup seseorang boleh berubah sepenuhnya daripada senang menjadi susah atau daripada susah menjadi senang.
Satu keputusan, peristiwa atau peluang yang diambil atau dilepaskan mampu mencorakkan arah masa hadapan seseorang.
Sebagai contoh, usahawan yang berani mengambil risiko dan bertindak pantas untuk melabur dalam sesuatu perniagaan mungkin menjadi pemilik empayar perniagaan suatu hari nanti.
Begitu juga dalam hubungan antara ibu bapa dan anak-anak, satu pelukan, satu ungkapan kasih sayang atau pujian yang diucapkan tepat pada masanya boleh menjadi kunci untuk membina jati diri anak-anak yang kukuh.
Di sisi yang lain pula, satu saat yang membawa keinsafan boleh mengubah seluruh kehidupan seseorang ke arah lebih baik.
Dalam bidang pendidikan, seorang pelajar yang hampir berputus asa mungkin berubah apabila mendengar nasihat daripada gurunya. Kata-kata yang ringkas, tetapi tepat pada masanya, memberikan semangat dan keyakinan baharu kepada pelajar tersebut untuk berjaya di masa hadapan.
Di media sosial pula, kita sering mendengar kisah tular yang mengubah hidup seseorang. Seorang peniaga kecil yang videonya dikongsi ramai kerana memberikan layanan baik kepada pelanggan, akhirnya menerima tempahan mencurah-curah dan berjaya meningkatkan taraf hidup. Satu saat rakaman video yang dikongsi dengan niat baik, memberi impak yang besar kepada rezeki dan kehidupannya. Satu klik, satu perkongsian, satu saat menjadi titik mula kepada kisah kejayaan yang luar biasa.
Akhir kata, satu saat sememangnya boleh membezakan antara senang dan susah, bahagia dan derita, jatuh dan bangkit. Oleh itu, kita sebagai manusia perlu sentiasa peka dan bijak dalam membuat keputusan. Tidak semua orang dapat peluang kedua dalam hidup, maka hargailah setiap saat yang kita miliki dan gunakanlah dengan sebaik mungkin untuk mencipta kehidupan yang lebih baik.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong,
Batu Pahat










