Pilih kursus pengajian berdasarkan keperluan industri

Pilih kursus pengajian berdasarkan keperluan industri

TERDAPAT bidang yang menunjukkan kadar kebolehpasaran melebihi 90 peratus seperti teknologi maklumat, pendidikan, perakaunan, kejuruteraan dan sains kesihatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMOHONAN ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui UPUOnline sudah ditutup pada 18 Mei, lalu. Ketika itu, ribuan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) giat mengisi dan mengemaskini pilihan kursus masing-masing.

Dalam keterujaan mengejar minat dan impian, ramai yang terlupa tentang masa hadapan kerjaya yang menanti selepas tamat pengajian.

Setiap tahun, kita melihat senario yang sama berulang. Pelajar memilih jurusan berdasarkan kecenderungan rakan, populariti kursus atau sekadar minat tanpa memahami keperluan industri. Akibatnya apabila bergelar graduan kelak, ramai yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan.

Tidak kurang juga yang akhirnya bekerja dalam bidang yang langsung tidak berkaitan dengan apa yang dipelajari.

Statistik Jabatan Perangkaan mendedahkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan sebanyak 9.3 peratus pada 2023, melibatkan lebih daripada 173,000 orang. Manakala laporan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun sama menunjukkan hampir 40 peratus graduan bekerja di luar bidang pengajian termasuk dalam pekerjaan yang tidak memerlukan kelulusan tinggi.

Kajian Profesor Madya Dr. Mohd. Shahidan Shaari pada 2019 menyatakan pengangguran dalam kalangan graduan memberi tekanan kepada produktiviti negara kerana bakat dan sumber manusia berpendidikan tinggi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Keadaan ini juga mengurangkan hasil cukai dan meningkatkan kebergantungan kepada sokongan kewangan kerajaan seperti subsidi dan bantuan pekerjaan.

Lebih membimbangkan, fenomena ketidakpadanan pekerjaan di mana individu bekerja dalam bidang yang tidak sejajar dengan kelulusan turut menjejaskan motivasi, produktiviti dan kemajuan kerjaya.

Kajian pensyarah Universiti Malaya, Profesor Dr. Nor Azina Ismail pula menyatakan ketidakpadanan ini menyebabkan kehilangan hasil ekonomi akibat kurangnya penghasilan daripada potensi sebenar tenaga kerja berpendidikan tinggi.

Pelajar dan ibu bapa harus meneliti statistik kebolehpasaran graduan yang dikeluarkan KPT saban tahun. Terdapat bidang-bidang yang menunjukkan kadar kebolehpasaran melebihi 90 peratus, seperti teknologi maklumat, pendidikan, perakaunan, kejuruteraan dan sains kesihatan.

Selain itu, penting juga untuk memahami perubahan dalam landskap pekerjaan hari ini. Banyak pekerjaan konvensional kini digantikan automasi dan kecerdasan buatan (AI). Sebaliknya, kemahiran digital, keusahawanan, pengurusan data dan kreativiti menjadi nilai tambah yang dicari oleh majikan.

Peranan ibu bapa amat besar dalam hal ini. Selain hanya menyokong keputusan anak-anak tanpa soal, ibu bapa perlu menjadi penasihat yang bijak. Berbincang, lakukan carian maklumat bersama dan libatkan mereka dalam memahami realiti dunia pekerjaan.

Guru dan kaunselor sekolah juga boleh membantu dengan menyediakan sesi bimbingan yang lebih bersifat realistik dan berorientasikan kerjaya.

Memilih kursus pengajian bukan semata-mata soal mengikut minat atau kehendak hati. Ia adalah keputusan penting yang akan mencorak masa hadapan seorang insan. Maka, jadikan keputusan itu bukan hanya berdasarkan keinginan hari ini tetapi apa yang bakal diperlukan di masa hadapan.-UTUSAN

NURUL SUHAIDA IBRAHIM
Pembantu Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN