Pertikaian Petros, Petronas: Kesan kepada aspek ekonomi, politik dan sosial rakyat

Pertikaian Petros, Petronas: Kesan kepada aspek ekonomi, politik dan sosial rakyat

petronas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Mahu atau tidak, boleh dikatakan bahawa PETROS telah muncul sebagai sebuah firma cari gali minyak & gas dalam landskap negara yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak. Sementara PETRONAS kekal sebagai sebuah syarikat nasional bertaraf multinasional yang menjadi tulang belakang industri tenaga Malaysia. Namun, sejak kebelakangan ini isu pertikaian diantara PETROS & PETRONAS semakin meruncing.
Suka atau tidak, negosiasi yang sedang berlangsung antara kedua-dua buah entiti ini, sama ada secara langsung atau melalui wakil kerajaan masing-masing. Dijangka membawa kesan yang besar terhadap struktur ekonomi, politik dan sosial negara.
petronas
MUHAMMAD ASYRAF ANOR
Sekiranya rundingan ini tidak dilaksanakan secara berhemah, 5 implikasi besar sedang menanti dihadapan:

1. Kemerosotan kredibiliti syarikat nasional & kesan terhadap tenaga profesional

Situasi akan menjadi lebih keruh sekiranya operasi cari gali syarikat PETRONAS mengecil di sebelah zon Borneo, ia mungkin akan membawa kesan terhadap kemerosotan keuntungan syarikat. Apabila sebuah firma perusahaan tidak lagi mampu menjana keuntungan dalam tempoh masa yang lama, barangkali operasi di beberapa bahagian terpaksa dikecilkan, perkara ini bagi mengurangkan kos perbelanjaan terutama sekali dalam konteks penggajian pekerja & kos upah sehingga mengheret kepada isu pemberhentian pekerja. Situasi semakin sulit ini akan menjadikan prestasi syarikat perindustrian cari gali minyak nasional kian merosot dari hari ke hari.
Sekaligus, tenaga profesional seperti pengurus projek, jurutera dan seumpamanya mengambil alternatif atau langkah selamat untuk berpindah lebih awal ke syarikat lain. Lebih malang lagi, sekiranya mereka ini keluar meninggalkan negara untuk mencari peluang pekerjaan di tempat lain.
Negara akan terus kehilangan pekerja berkemahiran tinggi sehingga menyebabkan isu “brain drain” berterusan tanpa penamat. Bakal-bakal graduan dikalangan pelajar IPT/institusi TVET turut cakna akan keterjaminan peluang pekerjaan pada masa hadapan, sehingga mereka lebih sanggup memilih keluar dari tanah air bagi mencari peluang pekerjaan.

2.Desakan negeri lain menuntut hak & potensi perubahan dasar negara

Rentetan daripada itu, sudah pasti tuntutan hak dari negeri-negeri lain semakin memuncak. Contohnya, tahun lalu kerajaan Johor menuntut 30% hasil KDN & Kerajaan Terengganu terus berusaha menuntut royalti petroleum atau Wang Ehsan. Pada awal tahun 2025, Kedah kembali tegas menuntut nilai pampasan status tanah sawah padi sebanyak RM 200 Juta.
Maka negeri-negeri lain akan bersikap skeptikal kepada kerajaan pusat, kemudian terus-menerus mempertikai polisi persekutuan yang hanya terarah kepada fokus keuntungan tetapi mengabaikan pengagihan hasil yang adil lagi saksama.
Justeru itu, kerajaan persekutuan terpaksa mempertimbangkan permintaan dengan desakan yang dibuat. Malah, ia juga boleh menjadi faktor pendorong kepada perubahan dasar negara. Hal ini akan membuatkan kerajaan persekutuan untuk menyemak semula perancangan asal.
Seterusnya, perkara tersebut turut memberi kesan kepada struktur fiskal nasional dalam RMK13, terutamanya dari segi pembahagian peruntukan pembangunan antara negeri dan pusat. Dalam makna kata lain, kerajaan pusat perlu merombak belanjawan negara supaya lebih menumpukan pemberian bajet yang besar buat negeri-negeri berbanding agenda pembangunan nasional.
Barangkali “federal government” akan memberi penekanan tumpuan lebih besar kepada koridor ekonomi di Borneo. Contohnya, seperti SCORE (Sarawak Corridor of Renewable Energy). Bagi menjadi salah satu agenda diplomasi & mengurangkan ketegangangan yang terjadi.
3.Risiko campur tangan luar dalam kawalan sumber strategik negara
Perlu diingat sumber gas asli di perairan Sarawak sangat hampir dengan Zon Konflik Laut China Selatan. Perkara yang membimbangkan adalah sekiranya wujud campur tangan dari pihak luar yang mengambil kesempatan di dalam kesulitan di sekitar wilayah tersebut, perkara ini boleh menggugat geopolitik dan keamanaan di sempadan perairan negara.
Sudah tentu isu PETROS & PETRONAS bukan sahaja mencuri perhatian dalam negara. Akan tetapi, turut mendapat perhatian antarabangsa dengan pihak luar. Berkemungkinan beberapa syarikat dari luar telah pun  bersedia menanti masa bagi menjadi pelabur dalam agenda mendominasi segmen huluan, khususnya sektor minyak dan gas di sebelah Sarawak.

4.Kesan rantaian ekonomi negara dalam jangka panjang

Malaysia amat bergantung kepada minyak & gas asli sebagai sumber pendapatan negara. Dalam sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, negara Malaysia berkembang maju berikutan peningkatan produktiviti dalam empat sektor penting ekonomi, iaitu perkhidmatan, pembuatan, minyak sawit serta minyak dan gas.
Selain itu, pengeluaran  minyak mentah dan kondensat di Malaysia telah mencatatkan  sejumlah 181.6 juta tong tahun lalu, manakala gas asli mencapai pengeluaran sebanyak 2,948.8 bilion kaki padu, berdasarkan Statistik Perlombongan Petroleum dan Gas Asli, Suku Keempat 2024.
Andaikan, PETROS berjaya membuat pengambilalihan penuh aktiviti cari gali & pengedaran minyak serta gas yang telah dibuat lama oleh PETRONAS sebelum ini, dijangka memberi kesan ketara kepada pendapatan negara pada masa akan datang. Faktanya, syarikat PETRONAS telah manyumbang sehingga 30% kepada pendapatan kerajaan pada tahun lalu, sejumlah RM32 bilion bayaran dividen telah dibuat syarikat PETRONAS.
Dalam konteks penjimatan sumber, seandainya pengurusan hasil gas asli ini tidak diuruskan dengan baik dan cekap, ia bukan sahaja memberikan “effect” kepada sumber pendapatan negara. Namun, membawa kesan yang panjang pada rantaian ekonomi.
Andaikan suatu hari nanti, sumber minyak negara tidak lagi mampu menampung permintaan di pasaran tempatan. Malaysia terpaksa mengimport minyak mentah dan kondensat dari negara luar seperti Arab Saudi dan UAE. Lebih malang lagi, sekiranya pemberian subsidi minyak oleh kerajaan persekutuan terpaksa dipertimbangkan semula.
Dalam erti kata lain, kos bahan bakar mungkin akan naik di pasaran domestik. Di samping itu, kebergantungan industri terhadap bahan bakar seperti sektor pertanian & pembuatan akan memudaratkan lagi keadaan. Sektor perkhidmatan pengangkutan juga antara sektor yang akan terjejas teruk. Impaknya, secara langsung bakal meningkatkan lagi kos operasi sesuatu sektor.
Apabila kos operasi meningkat, ia akan menjadi faktor penyebab kepada kenaikan harga produk akhir secara mendadak. Tambahan lagi, kesan buruk ini akan menyebabkan kenaikan harga produk/perkhidmatan di pasaran. Akhirnya, masalah ini akan terus membelenggu pengguna iaitu dikalangan rakyat apabila kos sara hidup akan terus meningkat.
Permasalahan ini sekaligus mendorong kepada krisis kemelesetan ekonomi di dalam negara.

5.Pola reaksi & persepsi rakyat

Bagi rakyat Sarawak, perkara ini dilihat sebagai sebuah autonomi ekonomi. Ramai dikalangan rakyat Sarawak mungkin lebih bersikap positif dengan menyambut baik usaha tersebut, hal ini kerana ia dilihat sebagai sebuah langkah memperkukuh hak autonomi negeri & penguasaan terhadap sumber asli. Mereka percaya lebih banyak hasil minyak akan kekal di Sarawak & hasil manfaat akan digunakan untuk pembangunan negeri seperti  fasiliti infrastruktur, pendidikan, dan kesihatan.
Lain pula perspektif bagi rakyat luar Sarawak pula, perkara ini dilihat sebagai masalah kritikal. Ada yang khuatir ia akan membuka ruang kepada negeri lain untuk menuntut hak kawalan ke atas hasil mereka, lalu melemahkan konsep federalisme. Jika perkara ini mengheret kepada isu rantaian ekonomi yang panjang. Risiko terbesar adalah bila mana rakyat mula hilang kepercayaan kepada teraju kepimpinan negara.
Tidak dinafikan juga ada yang berpandangan neutral. Golongan ini mengambil pendirian bagi keperluan kerjasama dua hala. Terdapat golongan yang melihat perkata ini harus ada model kerjasama PETRONAS Dan PETROS, tetapi bukan pengambilalihan sepenuhnya, agar kedua-dua pihak mendapat manfaat dan kestabilan ekonomi dikekalkan.
Secara keseluruhan, inti kepada semangat konsep federalisme adalah kebersamaan dalam pembangunan sesebuah negara. Perkongsian sumber asli dan pembahagian hasil keuntungan yang adil menjadi nadi kepercayaan pihak negeri/wilayah terhadap kerajaan persekutuan.
Begitu juga negosiasi perbincangan serta “capabilities” pengurusan yang cekap oleh persekutuan sangat diperlukan. Ini adalah kunci kepada timbang tara kerjasama yang dapat dilaksanakan bagi memutuskan “decision win-win situation”.
Sekiranya konflik pertikaian sumber gas asli ini tidak diselesaikan dengan baik, ia boleh menjejaskan bermacam perkara. Samada kesan kepada ekonomi, politik hingga kehidupan sosial rakyat pada hari esok. Rundingan melalui perbincangan yang baik dengan pembahagian hasil yang telus perlu dijadikan prinsip dalam segala keputusan yang bakal dibuat.
MUHAMMAD ASYRAF ANOR
KETUA PENERANGAN MAJLIS IKATAN MAHASISWA DARUL AMAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN