“Bangsa yang besar ialah bangsa yang belajar daripada sejarah, bukan yang terperangkap dalam kenangan silam.”
Sudah tiba masanya orang Melayu berhenti bernostalgia. Cukuplah mendabik dada dengan sejarah silam, nama besar, keturunan dan pangkat yang tidak lagi relevan dalam dunia moden hari ini.
Zaman berubah, dunia bergerak pantas ke hadapan, namun ramai masih terperangkap dalam mimpi masa lalu, berulang kali mengulang naratif kegemilangan empayar dan ketuanan, sedangkan cabaran sebenar hari ini datang dalam bentuk yang jauh lebih mencabar seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), ketidaktentuan geopolitik, inflasi, krisis iklim serta ketidakstabilan ekonomi.
Sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, Malaysia melalui pelbagai fasa perubahan yang signifikan dalam hampir setiap aspek kehidupan nasional.
Dalam politik, bermula dengan sistem dominasi satu parti Melayu melalui Perikatan dan Barisan Nasional (BN). Namun landskap itu berubah drastik selepas 2008 apabila majoriti dua pertiga tidak lagi menjadi jaminan. Hari ini, politik negara menyaksikan pertukaran kerajaan silih berganti, dengan tiada satu pun parti Melayu mampu menguasai secara dominan tanpa kerjasama silang parti. Ini petanda jelas pendekatan politik lama tidak lagi laku dalam dunia hari ini.
Ekonomi pula mengalami transformasi ketara daripada pergantungan kepada getah, timah dan sawit kepada perindustrian berat pada 1980-an, seterusnya ke ekonomi digital dan berasaskan pengetahuan. Kini, kita memasuki era baharu ekonomi hijau, blockchain, tenaga boleh diperbaharui dan kecerdasan buatan (AI).
Sosiobudaya dan gaya hidup turut berubah yang menuntut kita berfikir pantas, bertindak cekap dan bersedia menyesuaikan diri dengan persekitaran yang dinamik.
Meskipun dari segi statistik, orang Melayu merupakan majoriti populasi di Malaysia, kuasa Melayu tidak lagi utuh. Ia berpecah kepada pelbagai parti, ideologi, personaliti dan kepentingan peribadi. Kuasa Melayu hari ini diracik halus sehingga tidak lagi memberi impak yang benar-benar signifikan dalam pembentukan dasar nasional.
Ini bukan salah kaum lain. Ini bukan salah sistem. Ini juga bukan sekadar salah pemimpin. Ini salah kita sendiri – bangsa Melayu. Kita gagal membina satu pemikiran strategik menjangkaui emosi jangka pendek. Kita sering marah pada nyamuk, lalu kelambu yang dibakar.
Lebih menyedihkan, naratif penyatuan Melayu yang suatu ketika dahulu lahir dalam bentuk tentangan terhadap Malayan Union atas dasar prinsip dan kedaulatan bertukar menjadi perpecahan yang memalukan.
Parti demi parti ditubuhkan kononnya atas nama perjuangan Melayu, tetapi hakikatnya hanyalah menambah luka perpecahan dan menjadikan Melayu sebagai bangsa yang hilang arah dalam tanah air sendiri.
Persoalan hari ini ialah apa agenda bersama kita sebagai bangsa Melayu untuk masa hadapan?
Di manakah pelan besar orang Melayu untuk memimpin dalam bidang AI, data raya, kejuruteraan, bioteknologi, pelaburan, pertanian moden, pertahanan siber dan tenaga bersih? Siapa dalam kalangan pemimpin Melayu yang benar-benar sedang membina tapak kukuh untuk generasi akan datang?
Sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin Melayu berhenti bermain politik peribadi dan mula duduk semeja membincangkan bagaimana bangsa ini boleh digembleng kekuatannya untuk memacu negara. Kita tidak perlukan lagi wacana retorik. Kita perlukan pelan tindakan sebenar.
Orang Melayu perlu bangkit daripada lena sejarah. Kita tidak boleh terus berharap pada kisah-kisah lama yang sudah tidak sesuai dengan tuntutan masa kini. Nostalgia itu indah, tetapi tidak boleh menjadi alasan untuk kita gagal bergerak ke hadapan.
Melayu itu bukan lemah kerana musuh luar. Melayu itu lemah kerana keengganan untuk berubah, bersatu dan berfikir panjang. Sudah tiba masanya kita kembali melihat cermin dan mula membina masa hadapan dengan minda terbuka, semangat jitu dan langkah berani.-UTUSAN
WAN QUORIS SHAH WAN ABDUL GHANI
Konsultan dan bekas pegawai khas kepada pentadbiran kerajaan.










