DI Malaysia, lebih 700,000 individu berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) setakat 2024 menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Namun, penyertaan mereka dalam tenaga kerja formal masih rendah, iaitu hanya sekitar 0.3 peratus daripada keseluruhan populasi pekerja menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Akta Orang Kurang Upaya 2008 mewajibkan kerajaan dan pihak swasta memberikan hak sama rata kepada OKU, termasuk peluang pekerjaan. Kerajaan Malaysia juga telah memperkenalkan Dasar 1 Peratus Pengambilan OKU di sektor awam sejak 2018, dengan sasaran 1 peratus daripada jawatan kosong diperuntukkan untuk OKU.
Namun, menurut Laporan Tahunan JKM 2022, hanya 0.6 peratus jawatan di sektor awam diisi oleh OKU. Di sektor swasta, penglibatan OKU masih rendah, meskipun insentif seperti potongan cukai sehingga RM50,000 diberikan kepada syarikat yang menggaji pekerja OKU.
Mengapa Majikan Digalakkan Mengambil Pekerja OKU?
Peluang Insentif Kewangan: Majikan yang menggaji OKU layak menikmati pelbagai pelepasan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), termasuk potongan cukai berganda atas gaji pekerja OKU, pelepasan sehingga RM6,000 untuk pembelian alat khas dan pelepasan individu untuk pasangan atau anak OKU sebanyak RM6,000.Tambahan pula, menerusi Program Pemerkasaan Bakat OKU (OTEP) oleh HRD Corp, majikan boleh mendapat geran latihan penuh serta bantuan elaun selama enam bulan melalui latihan pengambilan pekerjaan (PJT).
Manfaat Menggaji Pekerja OKU kepada Sektor Pekerjaan
Membina Budaya Kerja Positif: Kehadiran pekerja OKU mewujudkan persekitaran kerja yang lebih empati, penyayang dan inklusif, meningkatkan motivasi keseluruhan tenaga kerja.
Mengurangkan Ketidaksamaan Sosial: Menyediakan peluang kepada OKU bukan sahaja mengangkat martabat individu, malah mengurangkan kebergantungan kepada bantuan sosial kerajaan.
Malaysia kini lebih proaktif menyediakan sokongan untuk memudahkan majikan mengupah pekerja OKU:
• Perkhidmatan Job Coach: Program intensif oleh JKM untuk membantu OKU dan majikan menyesuaikan diri, melakukan penilaian tempat kerja, pemadanan kerja, bimbingan sokongan, dan pemantauan berterusan.
• Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU (SBGP-OKU): Di bawah Jabatan Tenaga Kerja, skim ini membolehkan OKU memperoleh bantuan maksimum RM100,000 untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.
• Latihan dan Pembangunan HRD Corp: Melalui program seperti OTEP, HRD Corp menyediakan latihan bersubsidi penuh untuk meningkatkan kemahiran OKU dan membantu majikan memenuhi keperluan tenaga kerja.
• Insentif Kewangan dan Cukai: Melalui LHDN dan PERKESO, majikan menerima pelbagai potongan cukai dan bantuan kewangan lain.
OKU: Berdikari dan Menyumbang kepada Pembangunan Negara
Menurut Kajian Sosioekonomi OKU 2022, OKU yang bekerja mengalami peningkatan 40 peratus dalam kualiti hidup berbanding yang menganggur. Mereka juga menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara melalui produktiviti dalam pelbagai sektor.
Kerajaan mesti terus memperkukuhkan insentif, memperluaskan skim bantuan, melaksanakan undang-undang anti-diskriminasi secara lebih ketat, dan mempergiatkan kempen kesedaran untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap kebolehupayaan OKU.
Dengan sokongan bersama, kita bukan sahaja memperkasakan OKU, malah memperkasa Malaysia menuju masa depan yang lebih makmur, berdaya saing dan penuh harapan. Pengambilan pekerja OKU bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi peluang strategik untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan membina masyarakat inklusif. – UTUSAN
DR. MASTURA MAHAMED
Universiti Putra Malaysia