Ekonomi Islam tangani krisis pendapatan rakyat

Ekonomi Islam tangani krisis pendapatan rakyat

MALAYSIA mempunyai asas kukuh untuk menjadi negara contoh dalam pemerkasaan ekonomi Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU ketidakseimbangan antara pendapatan rakyat dengan kos sara hidup kian meruncing dan semakin mendapat perhatian umum. Luahan demi luahan rakyat mendedahkan realiti gaji yang jauh daripada mencukupi untuk hidup selesa.

Keresahan ini berasas apabila kadar inflasi, harga barang dan komitmen kewangan harian meningkat saban tahun, namun kadar gaji masih berada pada takuk lama.

Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim berpandangan gaji permulaan graduan universiti seharusnya berada dalam lingkungan RM7,000 hingga RM8,000 sebulan, berbanding kadar semasa sekitar RM2,500 hingga RM3,000. Kenyataan ini jelas mencerminkan betapa seriusnya jurang antara nilai kemahiran dan tanggungjawab dengan imbuhan sebenar diterima graduan masa kini.

Instrumen ekonomi Islam terbukti berkesan sejak zaman awal Islam perlu digembleng secara holistik dan strategik. Prinsip keadilan, keseimbangan dan ihsan yang menjadi asas ekonomi Islam menawarkan pendekatan beretika serta lestari dalam menangani ketidakseimbangan agihan kekayaan atau jurang pendapatan.

Malaysia mempunyai asas kukuh untuk menjadi negara contoh dalam pemerkasaan ekonomi Islam. Infrastruktur undang-undang, institusi kewangan Islam, agensi pengurusan zakat dan wakaf serta sumber manusia berpendidikan tinggi dalam bidang ini telah tersedia. Yang diperlukan hanyalah iltizam politik, pentadbiran yang bijaksana dan kesatuan usaha pelbagai pihak demi kesejahteraan bersama.

Instrumen penting dalam ekonomi Islam yang boleh dimanfaatkan adalah zakat. Dana zakat boleh disalurkan secara strategik kepada lapan golongan asnaf, bukan hanya untuk bantuan kebajikan tetapi juga bagi membina keupayaan ekonomi melalui pemberian modal keusahawanan, sokongan pendidikan, latihan kemahiran dan bantuan bersasar kepada keluarga B40 dan M40.

Satu lagi instrumen penting ialah wakaf, yang mempunyai potensi luar biasa dalam membina aset dan infrastruktur berkepentingan awam seperti perumahan mampu milik, fasiliti kesihatan, pendidikan dan perniagaan. Harta wakaf sedia ada boleh dibangunkan untuk manfaat rakyat tanpa mengira agama. Melihat kepada model wakaf kesihatan dan pendidikan di beberapa negara seperti Turkiye dan Mesir berjaya memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Di peringkat akar umbi pula, kempen literasi ekonomi Islam perlu digiatkan. Kefahaman masyarakat terhadap konsep dan aplikasi zakat, wakaf, muamalat dan pengurusan kewangan Islam masih rendah. Pelaksanaan kempen boleh dilakukan melalui kerjasama masjid, universiti, politeknik, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi komuniti tanpa memerlukan kos besar.

Dalam masa sama, koperasi Islam berasaskan komuniti patut diaktifkan semula sebagai pemacu penyediaan barangan keperluan secara pukal serta pembiayaan patuh syariah secara kecil-kecilan kepada masyarakat setempat.

Institusi pendidikan seperti politeknik, kolej komuniti dan universiti awam juga boleh memainkan peranan sebagai pusat latihan kemahiran jangka pendek. Di samping itu, mereka boleh menyampaikan modul celik ekonomi Islam kepada masyarakat setempat sebagai sebahagian daripada program khidmat masyarakat.

Langkah inovatif lain ialah dengan menempatkan graduan menganggur sebagai fasilitator dalam program komuniti berasaskan zakat dan wakaf. Elaun asas boleh dibiayai melalui dana zakat atau program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Dengan ini, graduan memperoleh pengalaman kerja bermakna sambil menyumbang kembali kepada masyarakat.

Langkah ini bukan sahaja menyelesaikan isu pengangguran, bahkan menyemai semangat kesukarelawanan dan kepedulian sosial dalam kalangan anak muda.-UTUSAN

DR. KHAIRUL JANNAH SAMSUDIN
Pensyarah Kanan
Jabatan Perdagangan
Politeknik Sultan Idris Shah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×